| Universiti Putra Malaysia

i-PUTRA, EZQurban Sdn. Bhd menjalankan Program Ibadah Korban i-PUTRA 1443H di UPM

SERDANG, 12 Julai - Buat julung kalinya, Putra International Centre (i-PUTRA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama EZQurban Sdn. Bhd. menjalankan Program Ibadah Korban i-PUTRA 1443H di UPM.

Kira-kira sebanyak 1,200 pek bungkusan daging korban akan diedarkan kepada pelajar-pelajar antarabangsa dan komuniti setempat.

Pengarah i-PUTRA, Prof. Dr. Suhaimi Ab Rahman berkata, tujuan utama program itu adalah untuk merapatkan i-PUTRA UPM bersama pelajar antarabangsa di UPM serta berharap pelajar mendapat pengalaman bagaimana masyarakat Islam di Malaysia menjalankan ibadah qurban.

“Kami dapati pelajar antarabangsa sangat teruja dan bangga kerana mereka telah diberi peluang untuk Bersama-sama keluarga i-PUTRA untuk menjalankan aktiviti qurban dan kita mahu merapatkan jurang atara i-PUTRA dengan komuniti antarabangsa,” katanya. 

Pelajar antarabangsa UPM, Ali Mohammed Baba berkata beliau teruja mengikuti program itu kerana mendapat pengalaman baharu mengenai cara pengendalian agihan daging korban di Malaysia.

“Saya gembira melihat staf UPM bersama pelajar antarabangsa bekerjasama untuk menjayakan agihan daging korban kepada mereka yang memerlukan dan berharap program ini akan diteruskan oleh UPM di masa depan,” katanya.

Pelajar antarabangsa UPM adalah terdiri dari negara Timur Tengah, Nigeria dan Asia.

Selain itu, program tersebut disertai 20 staf i-PUTRA serta beberapa staf Pusat Tanggungjawab (PTJ) serta lima wakil Angkatan Tentera Malaysia dan juga pelajar antarabangsa UPM.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail  dan Pendaftar UPM, Muhazam Mansor. - UPM

SXERHA~