| Universiti Putra Malaysia

Hujan panas ulang alik naik motor ke kelas, Wahida berjaya raih PhD

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang



SERDANG, 29 Nov – “Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya macam mana setiap kali tolak motor dalam hujan dan panas untuk ulang alik ke kelas dan tempat kerja dari Master hingga PhD,” luah graduan PhD keselamatan dan kesihatan pekerjaan, Norwahida Yaakub, 34.

Menurutnya sejak pengajian Master di Fakulti Kejuruteraan UPM beliau telah berulang alik menaiki motor ke kelas dan tempat kerja yang ketika itu di Pulau Indah.

Ketika menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah, Wahida berulang setiap minggu ketika ada kelas dari Terengganu.

"Saya bekerja di Terenganu ketika menyambung Ph.D jadi saya akan ke rumah kaka saya di Kajang menaiki bas atau kereta. Kemudian daripada Kajang ke UPM saya akan menaiki motor yang sama iaitu Suzuki FX 100," katanya.

Mengulas mengenai tujuan menyambung PhD beliau berkata sejak tahun pertama pengajian Ijazah Sarjana Muda dirinya sudah bertekad untuk memakai jubah PhD dan ingin menyumbang semula ilmu kepada anak bangsa.

“Ayah selalu berpesan anggaplah kita belajar di universiti seperti di pusat membeli-belah yang mana kita boleh menyusuri pelbagai ilmu dan kemahiran untuk berjaya.

“Pengalaman 10 tahun saya bekerja sambil menyambung pengajian ke peringkat tertinggi tidaklah sesuatu yang mudah untuk digapai. Kini, saya telah melapor diri di UMP pada Mei lepas sebagai pensyarah yang tidak pernah saya impikan,” katanya.

Beliau turut menitipkan pesan kepada golongan muda agar tidak meninggalkan ilmu bagi mengubah nasib diri dan keluarga bahkan juga negara -UPM. 

WXEUEA5~