| Universiti Putra Malaysia

Hoh Jia Da rangkul Ikon Reka Tekno Anugerah Perdana Belia Negara 2022

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Marina Ismail

SEPANG, 17 Disember - Pelajar Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Sistem Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) UPM, Hoh Jia Da, 22, berjaya merangkul Ikon Reka Tekno Anugerah Perdana Belia Negara 2022 yang telah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Anugerah ini diperkenalkan bagi menghargai dan mengiktiraf golongan belia yang menyumbang dalam pembangunan inovasi dan teknologi di Malaysia.

Hoh Jia Da berkata, beliau banyak melibatkan diri dalam bidang teknologi seperti mencipta platform bagi pelajar untuk berniaga dan menempah makanan menerusi aplikasi Xlektrik, Edulab, dan kad game untuk meningkatkan literasi Bahasa Inggeris dalam pelajar kalangan B40.

“Saya juga pernah mewakili Malaysia menjadi juara pertandingan ASEAN Humanitarian Assistance Hackathon 2021 menerusi hasil ciptaan aplikasi teknologi yang berimpak sosial.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka akan meraih kemenangan ini kerana saingan saya ketika temu duga kebanyakannya ialah orang dewasa dan belia yang hebat.

“Walau bagaimanapun, saya amat bersyukur untuk menerima pengiktirafan ini dan ia dapat menjadi inspirasi bagi orang muda lain di universiti untuk lebih proaktif dalam memberi sumbangan kepada masyarakat mereka dan membuat impak positif,” katanya.

Pada majlis gemilang itu, beliau diwakili oleh ayahnya Hoh Sek Wong, 52, kerana menyertai pertandingan East Asia Summit Hackathon yang dianjurkan oleh ASEAN Foundation di Jakarta, Indonesia mewakili Malaysia.

Bagaimanapun, pasukannya berjaya meraih tempat ketiga dan mengalahkan 10 negara iaitu India, Singapura, Indonesia, Myanmar, Thailand, Laos, Australia, Brunei, Vietnam, dan Filipina. - UPM

SXEZPAr~