| Universiti Putra Malaysia

Gunakan ilmu majukan negara, bantu anak bangsa teruskan kecemerlangan

Oleh Azman Zakaria


SERDANG, 13 Jan: Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohd Roslan Sulaiman mahu setiap graduan menggunakan ilmu yang diperolehi semasa pengajian untuk memajukan negara dan membantu anak bangsa agar mereka dapat meneruskan kecemerlangan yang telah diperolehi oleh para graduan.

Katanya, graduan perlu menggunakan semua ilmu diperoleh ketika pengajian untuk menjadi warganegara yang baik demi negara.

“Ikutlah resam resmi padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi,” katanya ketika berucap pada Sesi 6, Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44, di sini hari ini

Pada sesi itu Pro-Canselor UPM,  Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (master), Bacelor dan Diploma kepada 945 graduan.

Profesor Dr. Mohd Roslan berkata, sebagai golongan terpelajar, graduan perlu sentiasa bertanggungjawab dalam apa juga tindakan kerana mereka akan mewarisi negara dan mempertahankan peradaban.

Sehubungan itu, katanya, sifat ihsan yang terpatri sebagai juzuk utama nilai luhur kemanusiaan amat penting untuk dihayati.

“Seorang graduan wajib bersikap profesional, beretika dan amanah dalam sebarang tuntutan pekerjaan. Lebih menebal nilai Ihsan dalam diri seseorang, maka lebih tinggilah nilai integriti yang akan dizahirkan melalui sikap dan tindakannya,” katanya.

Beliau berkata, UPM tetap dan akan sentiasa memastikan sahsiah dan pembangunan semua pelajar menjadi agenda utama dalam mengejar kejayaan kerana individu yang memperolehi kejayaan akademik akan lebih unggul dengan pemilikan sahsiah, budi pekerti dan perwatakan yang terpuji. 

Katanya, untuk merealisasikan hasrat murni itu, UPM telah meletakkan usaha untuk melahirkan watak graduan yang berdaya tahan mendepani cabaran mendatang sebagai salah satu daripada matlamat utama dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang dilancarkan tahun lalu.

“Saya percaya dengan ciri-ciri graduan yang dihasratkan oleh UPM ini, mereka boleh menjadi agen perubahan dan adiwira kemanusiaan kepada komuniti dan seluruh masyarakat ke arah kesejahteraan hidup bagi  menuju kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan graduan agar jangan sesekali melupakan jasa ibu bapa kerana kejayaan menggenggam ijazah tidak hadir dengan sendirinya, sebaliknya melalui jasa dan pengorbanan yang terlalu besar oleh ibu bapa.

“Ibu bapalah yang menjadi tulang belakang kejayaan para graduan, sentiasa menyokong baik waktu sukar mahupun senang sepanjang menuntut ilmu.

“Berbaktilah dan berjasalah kepada mereka, dan gembirakanlah hati mereka, seperti yang telah dilakukan oleh  mereka kepada kita semua,” katanya. - UPM

WXETWAR~