| Universiti Putra Malaysia

Graduan UPM-IPTS tertinggi mendapat pekerjaan dalam negara – Prof Datuk Fauzi

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Gambar oleh Nor Azreen Awang

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Fauzi


SERDANG Graduan program kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) – institusi pengajian tinggi swasta paling tinggi mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata UPM mencatatkan  86.7% kejayaan pelajar mendapat pekerjaan mengikut rekod Graduates Employability pada tahun 2013 berbanding 75% program IPTA-IPTS lain di negara ini.

“Bagi memastikan IPTS yang bekerjasama dengan UPM dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti,  UPM sentiasa berbincang dengan IPTS terlibat bagi penambahbaikan program.

“UPM berharap IPTS yang bekerjasama terus cemerlang melahirkan pelajar yang berkualiti dan menjadi rebutan di pasaran pekerjaan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Konvokesyen Program Kerjasama UPM-IPTS ke-15 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.



Prof Fauzi juga berharap hubungan sinergi antara kedua-dua organisasi diperkukuhkan lagi melalui perkongsian pengalaman dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan  supaya graduannya setaraf dengan graduan di kampus UPM.

Dalam perkembangan lain, Prof. Fauzi berkata UPM menggalakkan graduannya menjadi usahawan dan berharap graduan kerjasama UPM-IPTS menerokai bidang baru untuk membolehkan mereka bersaing dengan lebih kompetitif di pasaran pekerjaan.


Datuk Naib Canselor bersama Darshanadevi Muthuthamby, graduan Cemerlang Akademik Peringkat Bacelor, program Bacelor Pentadbiran Perniagaan (tengah) dan Izni Mohamad Sabri, graduan Cemerlang Keseluruhan Diploma Pembangunan Manusia.


Pada majlis itu, seramai 257 graduan dari enam IPTS iaitu Kolej Teknologi Timur, Kolej Uniti, Kolej Universiti Shahputra, Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Kolej Risda dan Kolej Universiti Bestari menerima ijazah  dan diploma masing-masing iaitu 39 graduan Bacelor dan 218 Diploma. 

Enam kolej berkenaan menjalankan 6 program pengajian  kerjasama melibatkan 5 buah fakulti di UPM.

UPM masih mengekalkan tempat pertama sebagai IPTA paling ramai mengeluarkan graduan di peringkat Doktor Falsafah di negara ini iaitu seramai 440 pada tahun ini.


SXEYGAW~