| Universiti Putra Malaysia

Graduan Suku Semaq Beri mahu jadi inspirasi buat masyarakat Orang Asli

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto oleh: Seksyen Media Kreatif dan Visibiliti Korporat

SERDANG, 20 Mac – “Siapa kata Orang Asli tidak boleh berjaya?,” kata graduan program Bacelor Sastera (Kesusasteraan Melayu), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Amyza Jamaludin yang merupakan Orang Asli suku Semaq Beri.

Amyza yang juga adalah graduan tunggal Orang Asli Semaq Beri daripada program pengajian itu berkata masih ramai lagi masyarakat Orang Asli di luar terutamanya di kawasan pedalaman yang masih tidak tahu laluan untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Katanya beliau mahu menjadi inspirasi kepada masyarakat Orang Asli terutamanya yang berada di pedalaman seperti kampung Orang Asli di Gua Musang, Kelantan bahawa mereka ini boleh masuk universiti.

“Saya ingin membuka mata masyarakat Orang Asli bahawa pendidikan itu penting dan boleh mengubah nasib hidup keluarga,” katanya.

Tambah beliau, di perkampungannya di Kampung Orang Asli Batu 55 Maran Pahang hanya minoriti sahaja yang menyambung pelajaran dan berharap masyarakat Orang Asli perlu membuang persepsi anak Orang Asli tidak boleh lanjutkan pelajaran.

“Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sentiasa membantu masyarakat Orang Asli yang ingin menyambung pelajaran dan saya mendapat tajaan daripada JAKOA yang sangat membantu saya dalam kewangan,” katanya.

Katanya, JAKOA turut akan membantu ahli keluarga Orang Asli yang kurang berkemampuan sekiranya anak mereka hendak menyambung pelajaran.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata masyarakat Orang Asli boleh mengubah nasib keluarga masing-masing dengan pendedahan terhadap dunia pendidikan.

Dalam pada itu, Amyza juga mempunyai impian untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob memandangkan beliau merupakan anak kelahiran Pahang sama seperti Amyza. - UPM

WXEUKA1~