| Universiti Putra Malaysia

Graduan sebak impian bapa melihat kejayaannya di pentas konvokesyen tidak kesampaian

Oleh: Nazrul Rapail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu), FBMK

SERDANG, 20 Mac – “Belajarlah dan cari ilmu sebanyak yang mungkin.”  Itu antara pesanan yang sempat disampaikan oleh arwah ayah graduan Ijazah Sarjana dalam bidang Keselamatan dan Pemastian Kualiti Makanan, Nor Azmiraah Abd Jabar.

Nor Azmiraah, hadir ke sesi kedua di Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Kali Ke-45 hari berasa sebak kerana ketiadaan ibu bapanya untuk hadir menyaksikan kejayaan beliau di sini.

Menurutnya, arwah ayahnya meninggal dunia pada penghujung 2019 disebabkan kanser pankreas tahap empat. Beliau mengakui, kehilangan ayah beliau hampir menyebabkan beliau seolah-olah hilang arah dan hampir berputus asa untuk belajar.

Nor Azmiraah akui perlu melalui pelbagai rintangan ketika menyambung pengajiannya antaranya perlu berulang alik dari hospital ke UPM untuk menghadiri kelas pada waktu petang. 

“Ketika hayatnya saya banyak menghabiskan masa untuk menjaga arwah ayah di Hospital Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur dan membawa ayahnya untuk membuat rawatan kimoterapi,” katanya.

Sebelum ini, Nor Azmiraah telah menjadi anak yatim sejak berusia enam tahun apabila ibunya meninggal dunia disebabkan sakit appendiks dan juga gastrik yang teruk.

“Kehilangan ibu memberi tanggungjawab yang besar yang perlu digalas oleh ayahnya yang tabah membesarkan saya bersama abang sulungnya, Mohd Azmie Abd Jabar,” katanya.

Beliau akui pelbagai didikan dan dorongan yang arwah ayahnya berikan kepada mereka dua beradik bagi menghabiskan pelajaran dan berhasrat untuk melihat anaknya gah di pentas konvokesyen.

Namun begitu, Nor Azmiraah redha akan ketentuan Ilahi dansentiasa menjadikan Allah S.W.T sebagai punca utama untuk terus tabah dan tidak pernah untuk mempersoalkan ujian yang diterima olehnya.

Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) berpegang kepada pesanan ayahnya untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah.

Kata-kata inspirasi yang sempai beliau titipkan kepada pelajar UPM ialah “Don’t stop until you are proud of yourself”. - UPM

WXDdBAa~