| Universiti Putra Malaysia

Graduan PhD UPM pecah rekod FEM berjaya tamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 19 Mac - Berbekalkan prinsip tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya punya keazaman dan disiplin yang tinggi, graduan Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Ekologi Manusia (FEM) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Cheng Kai Wah, berjaya menghabiskan pengajiannya dalam tempoh dua tahun sahaja.

“Saya mendapat maklumat daripada Dekan FEM, Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri bahawa saya telah memecah rekod fakulti berjaya menghabiskan peperiksaan viva voce pada semester keempat.

“Saya secara tidak langsung telah membuktikan bahawa PhD tidak perlukan masa yang terlalu lama kerana ia bergantung kepada semangat dan usaha masing-masing.”

“Saya yakin kalau kita berdisiplin uruskan masa ia boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Beliau yang mesra dengan penggilan Dr. Cheng turut menerima Pemenang Hadiah Universiti bagi anugerah Pingat Emas BasNet Doktor Falsafah pada Majlis Konvokesyen UPM kali ke-45 ini.

Katanya, pada setiap hari beliau akan memperuntukkan masa selama lapan jam bagi menyiapkan segala urusan PhD termasuk menghadiri kelas, mengulangkaji dan menulis tesis.

“Saya juga merupakan seorang tutor di fakulti serta perlu membahagikan masa untuk pengajaran kuliah. Jika saya keletihan saya akan menggunakan waktu hujung minggu bagi mencukupkan lapan jam untuk thesis,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga bergiat aktif dalam dunia kesukarelawanan sejak Ijazah Sarjana Muda berpendapat bahawa seorang graduan tidak perlu terlalu ulat buku kerana banyak pengalaman berharga akan hilang.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dekan FEM, penyelia utama, Prof Madya Dr Syuhaily Osman serta Prof Dr Ahmad Hariza Hashim,” katanya. - UPM

SXETSAN~