| Universiti Putra Malaysia

Graduan perlu bersedia hadapi cabaran sebenar dunia: Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhammad Zohadie Bardaie

Oleh: Noor Eszereen Juferi



SERDANG, 1 Disember – Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) perlu bersedia menghadapi cabaran dunia dan menjadi lebih kompeten serta mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi di masa depan.

Pro Canselor, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhammad Zohadie Bardaie berkata graduan perlu persiapkan diri dengan cabaran dunia B.A.N.I iaitu Brittle (rapuh), Anxious (merisaukan), Non Linear (tidak linear) dan Incomprehensible (sukar difahami).

“Para graduan harus bersama-sama masyarakat dan industri untuk menghadapi norma baharu ini dengan tindak balas yang cekap dan pantas, fleksibel dan faktor penyesuaian dengan keperluan semasa dan masa akan datang,” katanya pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 Sidang 6 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

Tambah beliau, graduan mesti menggunakan segala ilmu yang telah diperoleh sebagai benteng perlindungan daripada keburukan dan amalan yang tidak berlandaskan kepada prinsip keadilan, kebaikan dan keharmonian sejagat.

“Hanya mereka yang dapat menguasai pengetahuan baharu dengan cepat dapat mengaplikasikannya akan mendapat kejayaan serta rungkaikan cabaran ini secara kebijaksanaan dengan ilmu yang dimiliki,” katanya.

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhammad Zohadie berkata UPM melalui graduan selaku agen perubahan perlu sentiasa memberi perhatian dan bersedia terhadap perubahan cabaran secara pantas adaptasi kepada keperluan semasa serta berkongsi ilmu untuk manfaat global.

Beliau berkata pembelajaran dan pengajaran tidak terhenti setakat di dewan kuliah kampus, tetapi juga diperluaskan kepada pusat tumpuan pembelajaran komuniti dan industri yang terdapat di lapangan. - UPM

WXEZEAO~