| Universiti Putra Malaysia

Graduan jangan mudah terpengaruh dengan kebebasan bersuara melampau


SERDANG, 13 Okt-Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar para graduan tidak mudah terpengaruh dengan tuntutan kebebasan bersuara daripada pihak yang mementingkan ideologi politik mereka. “Beta berharap para pelajar dan graduan tidak terjebak dengan budaya negatif seperti politik kepartian dalam kampus tetapi mereka boleh mengikuti perkembangan politik semasa dalam negara.

Namun, para pelajar dan graduan adalah dinasihatkan agar tidak terlalu taksub berpolitik hingga mengabaikan tujuan asal menimba ilmu,” titah baginda. Baginda juga menyeru agar graduan lebih matang dalam menangani apa juga permasalahan yang dihadapi atau yang berlaku di sekeliling. “Beta berharap ilmu yang dipelajari di universiti menjadi panduan agar graduan tidak mengorbankan nilai-nilai murni yang menjadi teras kepada masyarakat di Malaysia,” titah baginda semasa merasmikan Majlis Konvokesyen ke-36 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sultan Sharafuddin menyeru pelajar-pelajar universiti khususnya pelajar UPM agar tidak melibatkan diri dalam demonstrasi jalanan yang tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat dan mengundang pelbagai masalah. Baginda bimbang gejala itu boleh memberi risiko tindakan undang-undang terhadap pelajar dan menghampakan harapan keluarga untuk melihat pelajar berjaya dalam pengajian. “Mereka yang terlibat dalam demonstrasi jalanan bukan sahaja melanggar undang-undang kerana merosakkan harta benda awam malah berani mencederakan anggota keselamatan,” titah baginda.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Canselor menyeru agar graduan keluar daripada pemikiran biasa kepada pemikiran strategik supaya generasi muda berani mencipta inovasi untuk meningkatkan kualiti masyarakat Malaysia ke tahap cemerlang. “Kejayaan Malaysia tidak boleh terhenti setakat mencapai Wawasan 2020 semata-mata tetapi harus menjangkaui tempoh itu,” titah baginda yang bercita-cita melihat graduan UPM menjadi rebutan pasaran disebabkan kualiti pembelajarannya.

Sultan Sharafuddin bertitah untuk mencapai cita-cita itu, UPM harus memfokuskan kepada kualiti pembelajaran dan pembangunan modal insan pelajar selain memantapkan penyelidikan yang membawa manfaat kepada masyarakat.

Dalam titah ucapannya, baginda mengucapkan tahniah kepada UPM kerana mengekalkan bilangan graduan Ph.D tertinggi dalam negara pada tahun ini iaitu seramai 457 graduan.  Pada Majlis Konvokesyen tahun ini, 6,200 graduan menerima ijazah masing-masing iaitu 457 graduan Ph.D, 1,895 Master, 3,477 Bacelor dan 371 Diploma. Pada istiadat yang sama, Tunku Canselor mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Turut hadir pada istiadat itu ialah dua Pro-Canselor UPM, Tan Sri Dato’ Setia Dr.Nayan Arifin dan Tan Sri Dato’ Sri Lim Ah Lek.
 
Tuanku Canselor juga berbangga dengan usaha universiti membangunkan kekuatan sumber wakaf untuk ilmu atau endowmen yang memberikan pendidikan kepada golongan yang memerlukan hingga berjaya mengumpulkan sumbangan bernilai RM2 juta hasil sumbangan staf, alumni, rakan korporat universiti serta individu perseorangan.

Selain itu, baginda turut bangga dengan pencapaian Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM yang mendapat akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB), menjadikan UPM sebagai universiti pertama diiktiraf oleh badan akreditasi antarabangsa berprestij bagi sekolah perniagaan dunia.

Sementara itu pada sesi kedua majlis pada sebelah petang, Pro Canselor, Tan Sri Dato’ Setia Dr. Nayan Ariffin dalam ucapannya berkata cabaran universiti bukan sekadar melahirkan graduan yang menepati ciri diperlukan industri dan pasaran kerjaya tetapi graduan harus menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menukar setiap cabaran kepada peluang yang menguntungkan. “Peluang ini bukan sahaja atas kepentingan diri tetapi juga untuk negara dan kesejahteraan masyarakat global,” katanya.

Beliau berharap graduan akan menggunakan pengetahuan dan kemahiran diri untuk menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun manusia yang lebih berkualiti, berintegriti dan sinergi dengan alam persekitaran.

Berita ini disediakan Khairul Anuar Muhamad Noh, 03-89467469 & Mohd Rozaidi / Foto oleh Marina Ismail, 03-89468985

WXEUWA5~