| Universiti Putra Malaysia

Graduan diseru memilih keusahawanan sebagai kerjaya masa depan

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Mohd Hasrul Hamdan



KUALA LUMPUR, 15 Jun (UPM) – Graduan institusi pengajian tinggi (IPT) diseru memilih kerjaya keusahawanan agar dapat berdaya saing dari segi pemikiran dan tingkah laku.

Seruan tersebut dibuat oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh pada majlis pelancaran Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.  

Beliau berkata penerapan ilmu dan budaya keusahawanan di peringkat awal pengajian dapat membolehkan bakal siswazah dapat melihat pilihan kerjaya yang boleh diterokai.

“Kita lebih memerlukan lebih ramai usahawan dalam kalangan graduan IPT untuk menjadi pemangkin transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan inovasi.

 



“Ini secara langsung akan membentuk budaya serta minat bagi menjadi keusahawanan khususnya kepada generasi muda sebagai satu kerjaya pilihan pada masa akan datang.

“Kita perlu mengubah mindset pelajar dan graduan daripada menjadi pencari kerja kepada menjana pekerjaan selain pembangunan pembelajaran keusahawan perlu dipertingkatkan untuk mencetus minat pelajar dalam bidang tersebut,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata  K3G dihadiri hampir 20,000 pengunjung bertujuan memberi pendedahan maklumat kerjaya dan keusahawanan kepada graduan dan bakal graduan.

Program ini berusaha menangani isu kebolehpasaran dan kebolehdapatan kerja graduan serta menawarkan peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran.

“K3G dilihat sebagai platform untuk mengintegrasikan agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani isu kebolehpasaran graduan,” katanya.

Selain itu, K3G mengekalkan platform peluang kerjaya dan keusahawanan kepada graduan dan bakal graduan mendapat pekerjaan dalam bidang yang relevan dengan pengajian serta menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.- UPM

-- nej/kgo/kamn

 

 


SXDdJAV~