| Universiti Putra Malaysia

Graduan disaran tingkatkan integriti, jauhi rasuah - Tan Sri Lim

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Gambar oleh Marina Ismail

Pro Canselor UPM, Tan Sri Lim Ah Lek menyampaikan ucapan Majlis Konvokesyen ke-37 UPM sesi 4


SERDANG – Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) disaran memperkuatkan integriti diri dan menjauhi amalan rasuah apabila memasuki sektor kerjaya kerana penyakit masyarakat itu bakal  membawa musibah besar kepada negara.

Pro Canselor UPM, Tan Sri Lim Ah Lek berharap graduan UPM mengamalkan nilai murni dengan mengambil iktibar kesan buruk gejala rasuah kerana ia boleh menjejaskan nama baik universiti tempat mereka.

“Selain kerajaan, graduan dan masyarakat amnya harus memainkan peranan dalam menentukan nilai-nilai murni agar sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

“Jika di peringkat akar (UPM) sudah disemai dengan cantik, maka sudah pasti akan menjadi pepohon yang kukuh untuk dilindungi,” katanya pada ucapan Majlis Konvokesyen ke-37 UPM sesi keempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia di sini.



Tan Sri Lim dalam ucapannya turut bimbang dengan hasil kajian yang dilakukan oleh badan Transparensi Antarabangsa–Malaysia terhadap 1,000 rakyat Malaysia  berumur 16 tahun ke atas  yang mendapati 70  peratus pelajar dan penuntut universiti sedia menerima rasuah.

Dalam pada itu, beliau berharap UPM memperkukuhkan pendekatan strategi lautan biru (blue ocean strategy) untuk mencipta bidang nic yang menyokong agenda pertanian negara seperti sekuriti makanan, agribioteknologi, sains pertanian dan veterinary.

“Sekiranya kerjasama mantap antara UPM, agensi kerajaan seperti MARDI, MPOB, kepakaran industri dalam bidang pertanian dalam dan luar negara dapat dibangunkan, agenda pertanian negara berupaya dibawa untuk pasaran global dan tidak semestinya negara maju,” katanya.

Majlis Konvokesyen UPM kali ini menyaksikan keseluruhan seramai 7,149 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 26 Oktober hingga 29 Oktober ini. Daripada jumlah itu, penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 440, Ijazah Sarjana (Master) seramai 2,197, Bacelor (4,158) dan Diploma (354). 


WXETHAk~