Genggam Ijazah Di Sebalik Sibuk Niaga Kek Atas Talian | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Genggam ijazah di sebalik sibuk niaga kek atas talian

Genggam ijazah di sebalik sibuk niaga kek atas talian

Oleh Cheng Kai Wah

 

SERDANG, 29 Okt – Di sebalik kesibukan belajar dan pada masa yang sama  berniaga atas talian,  Ang Xin Tong dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan berjaya menamatkan pengajian dan menenrima ijazah Bacelor Pentadbiran Perniagaan Major Keusahawanan, pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-42, hari ini.

 

Ang Xin Tong, keturunan Baba Nyonya dari Melaka, mengusahakan kek agar-agar atas talian sejak 2016 setelah mendapat inspirasi untuk menceburi bidang jualan kek agar-agar dan reka bentuk manisan apabila melihat gambar manisan yang berbentuk unik dan berwarna-warni semasa melayari laman sesawang.

 

“Sebagai seorang graduan Bacelor Pentadbiran Perniagaan, saya bukan semata-mata mahu mempelajari ilmu dan teori sahaja tetapi kami juga mahu merebut peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam kehidupan seharian,” katanya.

 

Jualan paling laris adalah kuih tradisional Cina iaitu ang ku kuih.

 

Katanya, ang ku kuih yang dijual olehnya adalah unik kerana mengubahsuaikan perisa isian ang ku kuih yang tradisional kepada perisa pandan.

 

“Secara tidak sangka, kuih tradisional ini yang direnovasi semula mendapat sambutan hangat daripada pelanggan,” katanya sambal mengucapkan terima kasih kepada Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM kerana memberi panduan kepadanya daripada segi penulisan kertas cadangan perniagaan dan strategi menjalankan perniagaan.

 

Katanya, antara cabaran dihadapi dalam perniagaan ialah perlu berhadapan dengan perwatakan pelanggan yang berlainan dan usahanya untuk memenuhi permintaan yang bermacam-macam daripada mereka.

“Saya berharap mahasiswa UPM tidak takut menghadapi cabaran semasa menceburi bidang perniagaan atas talian. Gunakanlah peluang ini untuk meningkatkan lagi kemahiran komunikasi dan kemahiran menyelesaikan masalah serta yakin kepada diri sendiri,” katanya.

                                                                                                      

Ang kini mengikuti pengajian dalam jurusan Master Sains (Agribusiness) di Fakulti Perubatan Veterinar, UPM. - UPM

Tarikh Input: 12/11/2018 | Kemaskini: 12/11/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566720853