| Universiti Putra Malaysia

GAGAL KETIKA SPM TIDAK HALANG KINI RAIH IJAZAH SARJANA

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 24 Mac - “Hari ini saya seperti tidak percaya telah bergraduat Master Komunikasi Korporat sedangkan saya gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak mahu belajar selepas itu,” kata Faisal Jamal.

Beliau yang berkhidmat sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), bergraduat pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-45 sesi keenam hari ini di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS).

Sungguhpun beliau tidak mahu menyambung pengajian selepas kegagalannya itu, namun ia menjadi satu suntikan semangat baru buat dirinya.

“Saya sebenarnya telah banyak kali gagal tetapi itulah saya bangkit untuk saya capai matlamat yang saya inginkan dan untuk saya pelajaran satu-satunya yang boleh membantu saya sebagai sokongan untuk kehidupan yang lebih baik.”

“Arwah ayah saya turut memberi sokongan pada saya walaupun saya malas belajar dan ketika saya menyambung pengajian saya di peringkat Diploma di Akademi TV3 beliau telah membuat pinjaman kerana pada waktu itu tiada pinjaman pelajaran,” katanya.

Tambah beliau, oleh kerana ayahnya mahu anak-anaknya sambung belajar sehingga saya Master beliau memberi sokongan.

Walaupun Faisal sudah bekerja dan menggunakan wangnya sendiri untuk membayar pengajian Master beliau, arwah ayah sentiasa memberi sokongan moral kepadanya.

“Ketika di semester ketiga pengajian Master, arwah ayah telah meninggal dan skrol ini adalah hadiah buat arwah ayahnya, Jamal Ngadimin,” katanya.

Selain itu, semasa berkhidmat di RTM beliau sedar bahawanya pentingnya pendidikan untuk kemajuan dirinya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada RTM, rakan seperjuangannya, ahli keluarga dan penyelianya Dr. Syed Agil Alsagof kerana banyak membantunya sehingga ke hari ini. - UPM

SXEUTA6~