| Universiti Putra Malaysia

Future Biologist Caliphs dedah pelajar hubungkait ilmu Biologi dan ilmu Islam

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Muhammad Naufal Ilmi Hazri Fadzli, Nur Iffah Alyaa Aznan & Nurasyiqin Zulkefli

SERDANG, 14 Jan – Seramai 57 orang pelajar tingkatan 1 hingga 4, Sri Ayesha Islamic School menyertai program Future Biologist Caliphs 3.0 yang dianjurkan oleh Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Program dua hari itu bertujuan mendedahkan pelajar terhadap hubungkait antara ilmu Biologi dan ilmu Islam melalui pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.

Program bertemakan ‘Unleashing The Nur Within Young Biologist Caliphs.’ itu dikendalikan oleh 30 Ahli Jawatankuasa program Future Biologist Caliphs 3.0. Antara aktiviti yang dijalankan adalah “Taaruf”, “Mughamarah”, “Munazarah” dan “Tajribatun Ilmu Al-Ahya' “.

Pada sesi “Taaruf” pelajar dan fasilitator yang terdiri daripada ahli jawatankuasa program beramah mesra dengan ahli kumpulan masing-masing. Melalui aktiviti itu, ukhuwah di antara para pelajar Sri Ayesha Islamic School dan fasilitator dapat dieratkan lagi.

Aktiviti “Mughamarah” pula adalah aktiviti pengembaraan secara maya. Pelajar perlu menyelesaikan kesemua cabaran dalam masa yang terpantas untuk memenangi aktiviti itu.

Terdapat lima checkpoint yang perlu dilalui oleh setiap kumpulan. Setiap checkpoint menguji kemahiran yang berbeza serta pengetahuan asas pelajar berkaitan ilmu sains.

Aktiviti “Munazarah” pula menguji daya berfikir secara kritis pelajar dan kemahiran berkomunikasi dalam menyampaikan hujah dan pendapat berkaitan sesuatu topik. Pelajar diberikan topik tertentu dan mereka perlu berdebat berdasarkan fakta, yang secara tidak langsung membantu mereka mengasah minda serta bakat untuk berkomunikasi dengan lebih yakin.

Aktiviti “Tajribatu Ilmu Al-Ahya”, pula menghendaki pelajar melakukan uji kaji bersama ahli kumpulan dan melakukan pemerhatian ke atas keputusan akhir yang didapati daripada uji kaji itu.

Melalui aktiviti itu, pelajar dapat mengaitkan hasil uji kaji itu dengan firman-firman Allah SWT yang terdapat dalam Al-Quran seperti kepelbagaian cap jari, variasi rasa serta kepentingan paru-paru dan jantung kepada manusia.

Penasihat KMB dan program itu, Dr Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata, tema program kali ini dapat memberi pengetahuan baharu kepada pelajar sains bahawa ilmu sains dan Islam sentiasa mempunyai perkaitan.

Aktiviti yang dijalankan juga dapat meningkatkan semangat kerjasama dan sikap berdaya saing secara sihat antara pelajar serta sifat kepemimpinan dalam menyelesaikan misi sepanjang program.

Katanya, program kali ketiga itu mempunyai kelainan dari tahun sebelumnya. Walaupun dijalankan sepenuhnya secara dalam talian, namun aktiviti yang diadakan berlangsung meriah dan mampu memupuk kemahiran ‘critical thinking’ ke dalam diri pelajar dalam menyelesaikan masalah berkaitan sains.

Pelajar juga dapat mengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari sepanjang program itu dalam kehidupan seharian.

Pengarah program, Muhammad Naufal Ilmi Hazri Fadzli berkata, walaupun program itu tidak dapat dijalankan secara bersemuka, namun fasilitator dan pelajar tetap aktif dan bersemangat menyertai setiap aktiviti yang dijalankan.

“Program ini sedikit sebanyak dapat membuka mata kami (fasilitator) dan pelajar Sri Ayesha Islamic School mengenai aplikasi ilmu Islam dalam Sains terutamanya bagi Biologi,” katanya.

Tiga pelajar yang aktif menyertai program itu diberikan penghargaan sebagai “The Most Energetic Caliphsdan masing-masing menerima hadiah RM100. - UPM

SXEUEAx~