| Universiti Putra Malaysia

FSTM UPM anjur simposium fokus pada teknologi pemprosesan dalam penghasilan makanan berasaskan tumbuhan

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

FSTM UPM anjur simposium fokus pada teknologi pemprosesan dalam penghasilan makanan berasaskan tumbuhan

SERDANG, 13 Februari: Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (FSTM UPM) telah menganjurkan International Symposium on Food Innovations 2023 (ISFI 2023) dengan tema “Future Food: Choice of Ingredients and Processing Technologies for Sustainable Plant-based Food”.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Nazamid Saari berkata, UPM akan memberi fokus kepada sekuriti makanan dan memberi penekanan kepada pilihan bahan mentah dan teknologi pemprosesan dalam penghasilan makanan berasaskan tumbuhan yang lestari.

"Objektif utama simposium ini adalah untuk membincangkan pandangan tentang sumber protein alternatif bagi pembangunan makanan masa hadapan yang mampan dan inovatif dalam memenuhi keutamaan pengguna dan meningkatkan kesihatan manusia.

"Selain itu, simposium ini juga dapat mewujudkan kesedaran kepada orang ramai tentang keperluan makanan masa hadapan yang lestari," katanya.

Beliau berkata, UPM akan mengeluarkan produk berasaskan tumbuhan dengan harga yang kompetetif untuk dipasarkan di Malaysia dan menjadi sumber pendapatan negara pada masa hadapan.

Menurut Pengerusi ISFI 2023, Dr. Wan Zunairah Wan Ibadullah, “Makanan masa hadapan berkait rapat dengan empat dimensi keselamatan makanan, iaitu ketersediaan, akses fizikal, akses ekonomi dan penggunaan, yang kini semakin mendapat perhatian di banyak negara di seluruh dunia.

"Selain  itu, dasar dan pendekatan teknologi yang inovatif, berasaskan sains yang mantap, diperlukan untuk menghadapi cabaran meningkatkan pengeluaran makanan berasaskan tumbuhan sambil mencapai matlamat alam sekitar, ekonomi dan sosial. Justeru, kami amat berharap ilmu yang diperolehi daripada persidangan ini akan menjadi titik tolak untuk menerokai potensi rancangan penyelidikan baharu untuk manfaat manusia,” tambah beliau.

Simposium ini juga mensasarkan penyertaan dari organisasi dan individu yang berkenaan dengan sekuriti makanan dan keselamatan makanan, dan antara skop yang akan dibincangkan adalah Trend Makanan Global, Perdagangan & Dasar (Ekonomi, Peraturan), Keselamatan Makanan dan Kualiti Makanan Masa Depan, Persepsi Pengguna terhadap Makanan Masa Depan, Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dalam Makanan Berasaskan Tumbuhan, Halal, Alam Sekitar, Jejak Karbon & Perubahan Iklim, Masa Depan Sumber Protein Alternatif Mampan, Pendekatan Beretika ke arah Inovasi Produk Makanan, dan Etika Perniagaan dan Integriti Rantaian Bekalan Makanan.

ISFI 2023 telah dianjurkan pada 13 sehingga 14 Februari dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). -UPM

SXETRAw~