| Universiti Putra Malaysia

Festival Vivarium dedah usaha pemuliharaan flora dan fauna

Oleh: Faiz Hamzah
Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 19 Dis – Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan  Festival Vivarium 2018-6 Series bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan pemuliharaan flora dan fauna melalui vivarium.

Penasihat Program, Dr. Mohd Firdaus Ismail berkata program itu bertujuan memberi kesedaran serta pemahaman bukan sahaja kepada pelajar malah kepada masyarakat mengenai pentingnya memelihara flora dan fauna untuk generasi akan datang.

“Vivarium adalah satu cara pemuliharaan ex-situ iaitu pemuliharaan terhadap organisma sama ada flora dan fauna di luar habitat semula jadi mereka, dan dibuat di kawasan yang biasanya tertutup untuk menjaga haiwan dan tumbuhan untuk pemerhatian atau penyelidikan,” katanya.

Seratus orang pelajar semester sesi 2018/2019 UPM dari Kursus Botani Pertanian (AGR 3101) kumpulan satu dan empat menyertai festival itu.

 

Pelajar Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian, UPM,  Siti Norhanisah Lokman berkata melalui program itu beliau dapat melihat serta mempelajari bagaimana untuk menanam dan menjaga pokok di dalam bekas yang cantik untuk dijadikan perhiasan.

“Saya mempelajari ilmu baharu untuk menghasilkan sebuah terarium serta dapat meningkatkan kefahaman mengenai vivarium sebelum menerangkan kepada pengunjung,” katanya.

Rakannya, Nurul Anis Athirah Abdul Talib berkata program itu memberikan peluang kepada pelajar untuk menimba ilmu baharu dan menunjukkan kepada masyarakat mengenai keindahan bidang pertanian itu sendiri.

“Pertanian bukan sekadar bercucuk tanam malah lebih dari itu. Program vivarium ini merupakan satu medium ataupun teknik yang kreatif untuk menarik minat masyarakat terutamanya belia untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian,” katanya.

 

Vivarium dibina untuk tujuan khusus bagi pemuliharaan flora dan fauna serta merupakan satu produk yang mempunyai nilai tinggi sebagai hiasan rumah, landskap serta persekitaran yang selalunya dibina oleh peminat serta pencinta alam sekitar sebagai hobi.

Terdapat pelbagai jenis vivarium antaranya akuarium biasanya melibatkan pembinaan ekosistem akuatik seperti ikan, alga dan tumbuhan air. - UPM

WXDcVAj~