| Universiti Putra Malaysia

FaSSA Colosseum 2.0 lebar sayap ke kolej matrikulasi seluruh Malaysia

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Sarah Rasinah Sharuddin, Nur Syazwani Omar, Nurul Nadhirah Yahya & Mohamad Akmal Hazim Zaidi

SERDANG - FaSSA Colosseum kembali dalam talian dengan siri kedua, dan menerima sambutan lebih besar dari pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pelajar kolej matrikulasi seluruh Malaysia.

Atas sambutan luar biasa daripada peserta dan permintaan ramai, maka FaSSA Colosseum 2.0 tidak hanya terbuka kepada pelajar Fakulti Sains sahaja, tetapi juga kepada pelajar Kolej Matrikulasi seluruh Malaysia, tidak sepertimana FaSSA Colosseum sebelum ini.

Seramai 504 peserta daripada 126 kumpulan bersaing untuk menjadi pemenang FaSSA Colosseum 2.0.

Program anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains (FaSSA), UPM itu bertujuan melatih sifat daya saing yang sihat antara mahasiswa dan untuk mempromosikan Fakulti Sains ke pelajar Kolej Matrikulasi.

Pengarah Program, Sarah Rasinah Sharuddin dan Timbalan Dekan Akademik Prof. Madya Dr. Nor Azwady menzahirkan ucapan tahniah kepada pemenang dan kepada Ahli Jawatankuasa atas usaha mereka menjayakan program itu.

Penasihat program, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir mengucapkan syabas kepada Ahli Jawatakuasa kerana berjaya menjalankan program dengan lancar dan baik walaupun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang program

Beliau berbesar hati terhadap sambutan oleh pelajar UPM dan Kolej Matrikulasi dengan bilangan penyertaan yang melebihi sasaran penganjur.

FaSSA Colosseum 2.0 sama seperti siri pertama adalah program berbentuk pertandingan kuiz dalam talian yang soalannya merangkumi dari empat subjek teras Sains iaitu Fizik, Biologi, Kimia dan Matematik.

Kuiz dibahagikan kepada tiga sesi dan berlansung pada 19, 26 dan 29 Disember 2021.

Sepanjang tiga sesi itu, 126 kumpulan telah bersaing untuk menjadi 10 kumpulan yang terbaik dan sekaligus melayakkan diri ke pusingan akhir untuk berpeluang merangkul hadiah utama bernilai RM250 sumbangan Fakulti Sains.

Kumpulan pelajar dari UPM dan Kolej Matrikulasi berjaya merangkul hadiah utama yang menunjukkan bahawa pelajar Kolej Matrikulasi mampu bersaing dengan mahasiswa universiti.

Tempat pertama dimenangi Kumpulan Epsilon (UPM), tempat kedua Kumpulan Le Chatelier (Matrikulasi), manakala tempat ketiga Kumpulan Enigma (UPM).

Pelbagai hadiah individu diberikan pada peserta dan penonton, termasuk penonton yang paling banyak memberi sokongan untuk membawa pulang hadiah individu “Most Supportive Crowd” berbentuk wang tunai RM110. - UPM

SXEZGAt~