| Universiti Putra Malaysia

Evolusi rekabentuk Malaysia mampu setanding dengan jenama antarabangsa

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 8 September - Pengekalan jenama sesuatu barangan itu bergantung pada kualiti produknya meskipun pengeluaran barangan tersebut dari sebuah negara yang kecil. Industri reka bentuk di Malaysia juga semakin berkembang pesat seiring dengan 65 tahun negara ini mencapai kemerdekaan.

Antara kejayaan jenama Malaysia yang mempunyai reka bentuk tersendiri menempa nama ke peringkat antarabangsa seperti Bonia yang menawarkan barangan kulit beg dan kasut berkualiti tinggi, telekung Siti Khadijah serta jenama pakaian BritishIndia.

Evolusi industri reka bentuk dilihat begitu kompetitif dan pelbagai cetusan idea baru semakin banyak dihasilkan oleh generasi muda berbanding hasil reka bentuk pada awal kemerdekaan yang banyak dipengaruhi oleh elemen-elemen atau motif reka bentuk British.

Pensyarah Kanan Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Sazrinee Zainal Abidin berkata pereka di Malaysia mereka bentuk sesuatu atau mengadakan mana-mana bahagian dalam produk sesuai digunakan di negara luar.

“Saya melihat anak-anak Malaysia iaitu pereka-pereka muda telah memerdekakan minda mereka semasa menghasilkan reka bentuk. Banyak elemen-elemen yang berteraskan dan berkonsepkan Malaysia dimasukkan dalam reka bentuk.

“Selari dengan perjuangan kemerdekaan dan mendaulatkan tanah air Malaysia tercinta, kita boleh melihat kesatuan hati Keluarga Malaysia diterapkan dan diterjemahkan dalam reka bentuk,” katanya.

Julai lalu, Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) disaran memainkan peranan lebih agresif melalui program Creating Own Design as Own Brand bagi membantu industri tempatan dengan memberikan khidmat nasihat dan perundingan reka bentuk.

Perkara ini dilihat sebagai salah satu inisiatif yang dapat meningkatkan kesedaran agar rakyat Malaysia terus menyokong barangan hasil keluaran Malaysia.

Penyelidikan dan pembangunan

Bagi terus mengekalkan jenama Malaysia terus mendapat tempat di hati masyarakat global, penyelidikan dan pembangunan dalam industri ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa sejajar dengan perkembangan dan keperluan dunia.

Berasa selesa dengan kejayaan produk Malaysia yang sudah berada di pasaran tanpa inovasi dan penyelidikan yang berterusan akan membuatkan sesuatu produk itu hanya sekali berada di zaman gemilangnya.

Lihat sahaja masyarakat luar seperti di negara Korea Selatan yang rata-ratanya menggunakan barangan jenama mereka seperti Samsung dan Hyundai. Di Indonesia pula masyarakatnya begitu bangga menggunakan reka bentuk batik keluarannya setiap hari.

Persoalannya adakah masyarakat majmuk Malaysia mempunyai semangat patriotik yang tinggi dengan merasa bangga menggunakan barangan diperbuat di Malaysia?

Benar, sebagai seorang pengguna kita berhak untuk memilih barangan serta jenama kesukaan. Namun, sokongan oleh semua pihak dalam memartabatkan jenama dan reka bentuk produk Malaysia dapat meningkatkan lagi industri ini.

Dr. Sazrinee berkata masyarakat Malaysia haruslah sentiasa memperjuangkan dan mempertahankan persepsi penjenamaan Malaysia selaku pengeluar produk terbaik.

“Saya juga menyarankan agar pereka-pereka muda teruskan mereka bentuk dengan memperkuat penggunaan elemen-elemen Malaysia. Inilah peluang pereka muda negara mengibarkan Jalur Gemilang di persada antarabangsa.

“Setakat Julai 2022, Malaysia telah menunjukkan perkembangan perdagangan yang sangat baik dengan peningkatan sebanyak 39.8% berjumlah RM252.6 bilion berbanding RM180.7 bilion berbanding tahun 2021.

“Produk-produk Malaysia yang dieksport ke negara luar adalah berjumlah RM134.1 dari jumlah dagangan keseluruhan sehingga Julai 2022. Ini menunjukkan penerimaan produk-produk Malaysia ke negara luar semakin diterima dengan baik,” katanya.

Di samping itu, beliau juga menyeru agar rakyat Malaysia mengutamakan penggunaan produk-produk keluaran Malaysia. Secara tidak langsung ini akan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dalam membantu pemulihan ekonomi negara.

Sekiranya di Perancis jenama Louis Vuitton atau lebih dikenali sebagai LV begitu mendapat perhatian peminatnya yang tersendiri daripada segenap pelusuk negara kerana logonya yang kelihatan eksklusif dan premium, maka tidak hairan juga Malaysia akan mempunyai reka bentuk yang tersendiri dan diminati ramai apabila semua pihak menyokong produk Malaysia. – UPM

WXEUTAp~