Empat Pelajar UPM Ke Sukan Olimpik 2012 London | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Empat pelajar UPM ke Sukan Olimpik 2012 London

Empat pelajar UPM ke Sukan Olimpik 2012 London


SERDANG, 25 Julai -  Seramai empat pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah terpilih mewakili negara ke Sukan Olimpik 2012 di London iaitu Cheng Chu Sian dari sukan memanah, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong dari sukan terjun serta Yu Peang Kean dari sukan lawan pedang.

Daripada 28 atlet yang mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik London, lapan pelajar adalah dari institusi pengajian tinggi dan UPM merupakan universiti yang menyumbangkan pelajar teramai menyertai sukan itu.

Peang Kean ialah pelajar Fakulti Pengajian Pendidikan dan ketiga-tiga yang lain ialah  pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berharap pelajar-pelajar UPM dapat menyumbangkan pingat buat Malaysia atau sekurang-kurangnya mencatatkan rekod baru untuk negara.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada atlet UPM yang berlepas ke London semalam . Semoga mereka dapat melakarkan pencapaian berkualiti dalam acara yang ditandingi,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata perkembangan positif iaitu hampir 30 peratus atlet pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) layak ke Sukan Olimpik London berdasarkan merit  menunjukkan matlamat kerajaan melahirkan The Thinking Athletes mampu direalisasikan.

“Saya berharap atlet IPT yang akan berjuang di Sukan Olimpik agar berusaha sebaik mungkin untuk mengharumkan nama negara,” katanya selepas merasmikan penutupan Kejohanan Majlis Sukan Antara Universiti Malaysia (MASUM) Fasa 2 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini.

Pasukan Universiti Teknologi Mara muncul juara keseluruhan dengan memungut 12 pingat emas, UPM di tempat kedua dengan 7 pingat emas dan UTHM ketiga dengan empat pingat emas.

Berita ini disediakan oleh Khairul Anuar Muhamad Noh, 03-89467469


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566720555