| Universiti Putra Malaysia

Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM tawar 1,000 anak pokok

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh & Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Marina Ismail


SERDANG, 30 Okt - Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-39 menawarkan sebanyak 1,000 anak pokok buah-buahan yang dihasilkan oleh UPM termasuk pelbagai klon anak pokok durian. Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen itu mempamerkan 28 Pameran Inovasi Penyelidikan majoritinya berkaitan pertanian.

Ia dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan. Beliau berkata antara yang menarik ialah inovasi minyak masak jenama ‘Afdhal’ daripada ekstrak herba semulajadi yang mampu mengurangkan serapan minyak dalam masakan dan boleh digunakan berulang sehingga 80 kali.

“Minyak itu dirumus secara saintifik menggunakan bahan utama iaitu minyak sawit dan herba yang mampu mengurangkan penyerapan minyak dalam makanan bergoreng sehingga 85% dan membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kanser. “Inovatif daripada perintis perusahan, penyelidik dan belia menunjukkan produk inovatif Malaysia boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

“Pendekatan pertanian baru ini diharapkan dapat mencetuskan arus perindustrian pertanian di negara kita,” katanya.


Ekspo percuma anjuran Taman Pertanian Universiti, UPM di Bukit Ekspo selama enam hari di sini dari 30 Oktober (Jumaat) hingga 4 November 2015 (Rabu) menawarkan harga serendah RM10 bagi setiap pokok melalui jualan hasil pertanian, anak benih pokok buah-buahan dan hiasan.

Antara anak pokok durian yang dijual ialah jenis klon D 24, D 99 (Kop Kecil), D 168 (Hajah Hasmah) dan D 197 (Raja Kunyit) pada ekspo yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Anak pokok rambutan jenis R191, anak pokok mangga jenis MA 224 Cok Anan, anak pokok nangka jenis J33 dan anak pokok jambu batu jenis GU15.

Ekspo itu mengetengahkan pameran dan aktiviti berteraskan pertanian seperti jualan hasil pertanian serta produk hiliran yang turut menawarkan kepada pengunjung peluang memenangi hadiah melalui aktiviti yang disertai.

Tema ekspo pada tahun ini iaitu ‘Mendepani Pertanian’ dilihat sejajar dengan matlamat UPM untuk menarik minat masyarakat supaya menjadikan aktiviti pertanian ke arah kehidupan yang lebih dinamik.

Selaras dengan tema itu, ekspo menawarkan Klinik Pengembangan Pertanian yang membawakan 12 pakar pertanian UPM untuk membantu orang ramai dalam kaedah dan masalah pertanian seperti pertanian bandaran, kaedah tanaman secara cantuman, baji dan keratan/tampang.


Klinik itu juga membuat demo tanaman sayur secara fertigasi dan hidroponik, kaedah pemasuan semula dan pembiakan pokok hiasan, penanaman sayur secara growbag, pencegahan perosak, tanaman secara topsy tipsy, bonsai, terrarium, penanaman sayur dalam bekas terbuang menggunakan kaedah piskiponik, hiasan flora dan fauna dalam akuarium, penyediaan makanan sihat, penyediaan mikro organisma yang berkesan dan bahan herba mandian.

Peminat orkid turut berpeluang membeli orkid pelbagai spesis menarik dengan harga yang murah pada pameran dan jualan pokok orkid di Astaka Orkid, Bukit Ekspo di sini.
Beberapa aktiviti turut diadakan seperti gubahan bunga orkid, pameran penyelidikan orkid, hiasan orkid dan teknik menanam, merawat serta mengelakkan jangkitan kulat pada orkid.

Jualan ternakan UPM seperti daging lembu ditawarkan dengan harga serendah RM25.00 sekilo di kawasan Gerai Jualan Putra Mart TPU di Bukit Ekspo, daging rusa serendah RM39.20 dan susu lembu RM 6.50 untuk 1.5 liter.



Selain itu terdapat pameran ternakan, haiwan peliharaan dan mini zoo di mana pengunjung berpeluang menaiki kuda, memberi makan kuda, rusa dan kambing.

Acara sebelah malam dimeriahkan oleh pelajar-pelajar UPM seperti pertandingan Rentak Putra iaitu pertandingan band antara kolej kediaman, persembahan kebudayaan oleh pelajar tempatan dan antarabangsa, persembahan artis jemputan, pertandingan koir antara kolej kediaman dan Pertandingan Mencari Bintang.

Acara lain ialah larian merentas ladang, UPM Obstacle Challenge Rakan Muda iaitu menguji kekuatan fizikal dan mental ketika berlari menempuh halangan, aktiviti sukan/riadah seperti permainan tali (flying fox) dan bersampan.

Sepanjang ekspo itu terdapat pelbagai acara/permainan yang menawarkan pelbagai hadiah iaitu pertandingan melukis dan mewarna, cabutan bertuah, karikatur, studio penghias wajah, Explorace, jualan harga runtuh majalah, sesi bersama ikon, cabutan bertuah, pertandingan Urban/Recycle Agriculture mengengahkan penggunaan sisa buang yang dihias dan boleh digunakan terutama bagi kawasan yang sempit umpama di balkoni rumah.

Turut diumumkan pada majlis perasmian itu ialah pemenang Pertandingan Pertanian Bandaran antara PTJ UPM yang dimenangi oleh Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi dan membawa pulang hadiah berupa medal emas, wang tunai bernilai RM1,500 dan sijil penyertaan.

WXDdXAd~