| Universiti Putra Malaysia

Dr. Razali, Dr. Ismayadi menang anugerah Hari Pentadbir Universiti Awam

Oleh Azman Zakaria



Bandar Enstek (Negeri Sembilan), 15 Sept : Dua staf pentadbiran Universiti Putra Malaysia (UPM) – Pengarah Pusat Islam, UPM, Dr. Razali Othman dan Pegawai Penyelidik, Institut Teknologi Maju (ITMA) UPM, Dr. Ismayadi Ismail – memenangi anugerah gemilang pada Hari Pentadbir Universiti Awam (UA) baru-baru ini.

Dr. Razali memenangi anugerah kategori Pentadbir Cemerlang (Penulisan), manakala  Dr. Ismayadi memenangi kategori Pentadbir Cemerlang (Penyelidikan).

Mereka menerima piala, sijil dan buku pada majlis Majlis Anugerah Gemilang Pentadbir di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di sini.

Mengenai kemenangannya itu, Dr Razali berkata para pentadbir di UA mampu untuk menulis dengan baik.

Yang penting, katanya, ialah pentadbir harus diberi peluang dan suntikan semangat untuk menulis sesuai dengan perkhidmatan mereka di universiti.

“Saya berharap anugerah ini bukan sahaja akan memberi suntikan baharu kepada semua warga pentadbiran di UPM, tetapi juga warga pentadbir di 20 UA untuk sama-sama menyumbang kepada kecemerlangan universiti dalam bentuk penulisan mengikut bidang kepakaran masing-masing,” katanya.



Dr  Ismayadi pula berkata pemberian anugerah seperti itu membuktikan bahawa peranan dan sumbangan pentadbir tidak diabaikan.

“Saya berdoa semoga rakan-rakan pentadbir khususnya Pegawai Penyelidik dapat terus melakukan penyelidikan yang mampu memberi impak yang besar bukan sahaja kepada universiti tetapi juga negara secara keseluruhannya,” katanya yang melahirkan kesyukuran atas anugerah yang dimenangi itu.

Tujuh Anugerah Kecemerlangan Pentadbir disampaikan pada majlis itu sebagai menghargai sumbangan para pentadbir dalam menyokong merealisasikan visi dan misi universiti. Lima lagi anugerah ialah Anugerah Khas MASTI, Anugerah Pentadbir Cemerlang (Khidmat Komuniti),  Anugerah Pentadbir Cemerlang (Kreativiti & Inovasi), Anugerah Pentadbir  Terbilang dan Anugerah Kepimpinan Perdana MASTI.

Sebelum itu, pada perasmian Konvensyen Pentadbir Universiti Awam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang diwakili timbalannya Datuk Mary Yap Kain Ching, melahirkan rasa kegagumannya atas inisiatif Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) yang dapat mengumpulkan kepimpinan persatuan pentadbir di 20 buah UA dalam majlis berkenaan.

Pada majlis yang sama, buku ‘Pentadbir Pemangkin Transformasi Universiti’ tulisan 17 orang pentadbir di UA turut dilancarkan.  – UPM


WXETOAv~