| Universiti Putra Malaysia

Dr. M. Iqbal dinobatkan Anugerah Belia Cemerlang Malaysia 2012


SERDANG, 15 Sept – Seorang pensyarah dan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. M. Iqbal Saripan dianugerahkan Anugerah Belia Cemerlang Malaysia atau The Outstanding Young Malaysian Award (TOYM) 2012 bagi kategori Medical Innovation bersama 10 pemenang lain baru-baru ini.

Beliau yang berusia 32 tahun, merupakan Ketua Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan menumpukan penyelidikan dalam bidang pemprosesan isyarat/imej digital, pengimejan perubatan, kejuruteraan bioperubatan dan pemprosesan audio dan video.

Dr. Iqbal berjaya menemui kaedah mengesan sel kanser peringkat awal dengan menggunakan pengimejan nuklear yang dikenali sebagai Pengkolimat Jaringan Wayar. Ciptaan ini boleh mengesan saiz kanser sekecil satu millimeter dan pengkolimat yang telah diubah suai itu tidak memberi kesan radiasi kepada pesakit.  

“Inovasi perubatan bukan sahaja melibatkan penyertaan daripada doktor perubatan dan pesakit tetapi juga jurutera. Kebanyakan mesin diagnostik canggih di hospital merupakan hasil daripada kemajuan dalam kejuruteraan sains.

“Kewujudan bersama maklumat perubatan dan kejuruteraan telah menghasilkan bidang baru iaitu kejuruteraan bioperubatan. Bidang pelbagai disiplin (multidisciplinary) ini menggabungkan kepakaran dari latar belakang yang berbeza untuk mencapai satu objektif yang sama iaitu kemajuan kemudahan perubatan untuk manfaat masyarakat,” katanya yang mendapat sijil dan trofi atas kemenangan itu.

Beliau menyifatkan usaha mengesan sel kanser pada peringkat awal adalah sesuatu yang amat penting dan penyelidikan harus bergerak ke arah itu.

Dua lagi penyelidik UPM yang berjaya disenaraikan sebagai 30 orang finalis bagi TOYM 2012 ialah Prof. Madya Dr. Alyani Ismail yang juga dari Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan, UPM untuk kategori Academic Leadership and/or Accomplishment dan Prof. Madya Dr. Cheah Yoke Kqueen dari Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM untuk kategori Scientific and Technological Development. Kesemua 30 orang finalis mendapat sijil dan plak.

Dr. Iqbal mengulangi pencapaian Prof. Dr. Mohd Adzir Mahdi dari Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan yang telah memenangi anugerah yang sama bagi kategori Scientific and Technological Development pada tahun 2010.

Kategori lain yang turut dipertandingkan pada TOYM 2012 ialah Business, Economic and/or Entrepreneurial Accomplishment; Political, Legal and/or Government Affairs; Cultural Achievement; Moral and/or Environmental Leadership; Contribution to Children, World Peace and/or Human Right; Humanitarian and/or Voluntary Leadership dan Personal Improvement and/or Accomplishment.

TOYM 2012 yang berlangsung di JW Mariott Kuala Lumpur itu merupakan majlis anugerah tahunan ke-27 anjuran Junior Chamber International Kuala Lumpur Mandarin (JCIM). Anugerah itu memberi pengiktirafan kepada warga Malaysia muda berumur antara 18 hingga 40 tahun terhadap pencapaian cemerlang mereka dalam bidang masing-masing dan sumbangan mereka kepada kebajikan komuniti secara menyeluruh.


WXEXVAp~