Dikir Barat, Kuda Kepang Kolej 13 Harumkan Nama Malaysia Di Jepun | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Dikir Barat, Kuda Kepang Kolej 13 harumkan nama Malaysia di Jepun

Dikir Barat, Kuda Kepang Kolej 13 harumkan nama Malaysia di Jepun

Oleh Azman Zakaria


FUKUOKA (JEPUN), 16 Sept - Universiti Putra Malaysia melalui Kolej Tiga Belas, Fakulti Pengajian Pendidikan dan Fakulti Ekologi telah menjayakan persembahan Dikir Barat dan Kuda Kepang di Jepun bagi tujuan mempromosi kaedah terapi kanak-kanak autism dan Sindrom Down  melalui pendekatan muzik tradisional.

Delegasi seramai 25 orang peserta yang menyertai program pengantarabangsaan, Look East Policy Program Siri 3, anjuran Kolej Tiga Belas itu menarik minat seramai 1,000 penonton di konsert khas bersama kumpulan muzik kanak-kanak Sindrom Down Jepun, Twinkle Cats di Bandar Iizuka, Fukuoka, Jepun, baru-baru ini.

Kejayaan itu adalah rentetan daripada persembahan khas bersama Persatuan KIWANIS di Kuantan, Pahang pada Februari 2015 di hadapan Tengku Puan Pahang, dan bersama pasukan Kuda Kepang mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa anjuran Bentley Music Malaysia di Damansara pada Mei 2015.

Sebelum ini, pasukan Dikir Barat Kolej 13 telah menjuarai pertandingan Dikir Barat inter kolej selama tiga tahun berturut-turut dan mewakili UPM ke pertandingan inter varsiti awam juga selama tiga tahun berturut-turut.

Pada April 2014, ia telah membuat persembahan amal di Kitakyushu, Jepun yang menarik minat pakar untuk mengembangkan potensinya.



Bagi Kuda Kepang pula, ini adalah kali pertama ia dijadikan instrumen untuk kajian terapi muzik bagi kanak-kanak Sindrom Down di Jepun.

Program ini adalah hasil inspirasi Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan dan Pengarah Malaysia Super Satelite Campus (UPM-Kyutech), Prof. Dr. Yoshihito Shirai.

Kolaborasi seperti ini merupakan salah satu elemen penting yang membantu menjayakan agenda pengantarabangsaan UPM dalam mencapai sasaran Putra Global 200.

Pegawai penyelaras program. Prof. Madya Dr. Hazandy Abdul Hamid berkata, peluang ini telah menyemarakkan semangat cintakan negara bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-58.

Pengetua Kolej Tiga Belas, Prof. Madya Dr.Arifin Abdu, pula berharap program ini dapat melahirkan graduan berdaya saing, holistik dan membina personaliti unggul selari dengan lonjakan pertama PelanPenddikan Tinggi Malaysia (2015-2025).

Program ini juga diharap dapat meningkatkan jaringan kejasama antarabangsa peserta yang akhirnya melahirkan graduan berfikiran global sekaligus meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Program seumpama ini membuktikan bahawa seni dan budaya mempunyai potensi yang lebih luas selain hiburan, iaitu terapi pemulihan dan pembangunan kemahiran insaniah pelajar, serta menjadi penghubung antara mahasiswa dan masyarakat di areana tempatan dan antarabangsa. - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566348546