| Universiti Putra Malaysia

Demi raih Doktor Falsafah, Penyanyi Iban Sarawak korban 80% aktiviti nyanyian

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 

BINTULU, 4 Nov - Penyanyi Iban Sarawak, Alexander anak Chelum, 39, mengurangkan hampir 80 peratus aktiviti nyanyiannya bagi memberikan fokus sepenuhnya demi bergelar Doktor Falsafah (PhD).

Pilihannya itu dibuat sejak memulakan pengajian PhD dalam bidang falsafah dan pengajian ketamadunan pada 2019 di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB).

“Dalam kehidupan, kita sentiasa perlu membuat pilihan. Jadi, untuk mencapai sesuatu yang luar biasa pasti akan ada sesuatu benda atau perkara yang perlu dikorbankan. Utamakan pilih berdasarkan matlamat dan kepentingan.

“Sebenarnya sudah lama saya teringin untuk melanjutkan pelajaran di UPM. Ketika Bacelor dahulu UPM merupakan pilihan pertama saya, namun saya gagal pada sesi temu duga Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama),” katanya.

Luahnya, sejak itu beliau bertekad untuk melanjutkan pengajian di UPM dan kini angan-angannya menjadi nyata apabila berjaya meraih PhD pada istiadat Konvokesyen UPM ke-47 sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang UPMKB, hari ini.

“Puji dan syukur akhirnya dapat bergelar graduan UPM. Lebih manis ianya adalah pengajian di peringkat PhD. Banyak kenangan manis dan cabaran yang tidak akan saya lupakan dalam meraih PhD ini.

“Saya akan terus menyumbang dan berbakti kembali kepada masyarakat dari segi penyelidikan dan memberi ilmu kepada masyarakat dan pelajar khususnya dalam bidang falsafah dan ketamadunan,” katanya.

Beliau yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berpegang pada prinsip perjuangan yang telah dimulakan mesti diakhiri dengan kejayaan.

“Terima kasih buat Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman, Dr. Chan Siaw Leng, dan Dr. Franklin Ragai Kundat yang sentiasa membimbing, mengasah minda dan pemikiran saya bagi meraih kejayaan hari ini,” katanya. -UPM

SXDDUAi~