| Universiti Putra Malaysia

Delegasi UPM adakan lawatan ke Kepulauan Songsong, Yan

Oleh: Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa

 

YAN, (Kedah): Satu delegasi daripada Universiti Putra Malauysia (UPM) diketuai Dekan Fakulti Sains, Profesor Mohd Basyaruddin Abdul Rahman mengadakan lawatan ke daerah Yan, Kedah baru-baru ini.

Delegasi turut disertai ahli akademik dan pelajar sarjana dan PhD daripada beberapa fakulti dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP). Mereka adalah sebahagian daripada Jawatankuasa Induk Cadangan Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran UPM di Kepulauan Songsong UPM.

Beberapa mesyuarat serta pertemuan bersama agensi kerajaan dan komuniti di Alor Setar dan Yan dijalankan untuk pembentangan dan perbincangan mengenai beberapa cadangan daripada UPM kepada agensi-agensi berkaitan agar selari dengan perancangan yang diatur, serta untuk membantu semua pihak memahami kemahuan dan kehendak antara satu sama lain.

Daerah Yan yang dijenamakan sebagai Ekopelancongan Desa oleh kerajaan Kedah mempunyai banyak produk yang berpotensi untuk dikomersialkan termasuk   pelancongan, pertanian, kebudayaan, sains dan teknologi.

Pertemuan bersama dengan pemimpin komuniti nelayan dan Desa KEDA Sg. Udang, berjaya menyelami keperluan yang mereka inginkan daripada UPM. Mereka mengharapkan agar pembangunan yang bakal dicadangkan oleh UPM dapat memberikan manafaat kepada komuniti di Yan. UPM juga diharap dapat membangunkan daerah itu terutama di Kepulauan Songsong bersama-sama dengan pemegang taruh yang lain.

Delegasi UPM dibawa menaiki bot untuk lawatan ke Kepulauan Songsong yang mempunyai empat pulau yang tidak berpenghuni iaitu Pulau Bidan, Bunting, Songsong dan Telur. Pulau Bunting merupakan pulau persendirian dan tidak boleh dimasuki tanpa kebenaran.

Perjalanan bot mengambil masa kira-kira 45 minit daripada jeti untuk sampai ke Kepulauan Songsong. Ketika lawatan, delegasi UPM diturunkan di Pulau Songsong dan Bidan serta dibawa mengelilingi Pulau Telur.

Mesyuarat bersama agensi-agensi kerajaan atau pemegang taruh bagi daerah Yan, Kedah telah menunjukkan penerimaan yang sangat positif terhadap cadangan daripada UPM.

Mesyuarat diadakan dengan Pegawai Daerah dan Yand Diperta Majlis Daerah Yan, YM. Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah dan pegawai perancang desa.

YM. Tunku Iskandar memberikan sokongan sepenuhnya agar penubuhan sebuah pusat penyelidikan dan pembelajaran UPM dapat direalisasikan di Yan. Beliau turut menyarankan agar UPM menjadi anggota Jawatankuasa Jerai Geopark negeri agar dapat mengetahui segala perkembangan terkini mengenai projek tersebut.

Sementara itu, mesyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Warisan, Belia dan Sukan, Keusahawanan dan Koperasi Negeri, Mohd. Firdaus Ahmad turut dihadiri oleh pegawai daripada Bahagian Tindakan Ekonomi Negeri dan Kedah Tourism. Pada dasarnya, Firdaus sangat mengalu-alukan cadangan penubuhan sebuah pusat penyelidikan dan pembelajaran UPM di Yan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Mohamad Abdullah pula menyokong penuh hasrat UPM untuk menubuhkan satu stesyen satelit di Pulau Bidan, ketika pertemuan dengan beliau.

Lawatan telah menemui banyak keunikan di daerah Yan. Terdapat pelbagai jenis hidupan laut yang menjadikan Kepulauan Songsong syurga bagi aktiviti menyelam dan snorkeling.

Kepulauan Songsong juga mempunyai kisah warisan sejarah yang sangat tinggi nilainya. Sehingga kini kesan peninggalan sejarah dapat dilihat di pulau-pulau itu di samping sumber flora dan faunanya. Kesemua sumber itu perlu dipulihara.  

Namun agak mengecewakan apabila didapati segelintir pelancong membuang sampah merata-rata di pulau-pulau di situ. Sampah sarap ini boleh membawa kemusnahan terhadap alam sekitar.

Justeru dicadangkan agar had daya tampung perlu diperkenalkan dengan segera di Kepulauan Songsong demi menjaga kelestarian keempat-empat pulau itu.Jumlah pelancong perlu dihadkan pada satu-satu masa.

Bagaimanapun penyelidikan lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi menetapkan had daya tampung sebenar di Kepulauan Songsong. Pengunjung juga perlu diterapkan dengan konsep pelancongan bertanggungjawab dan pelancongan kesukarelawanan.

Pengunjung perlu memastikan sampah yang mereka bawa masuk ke pulau-pulau tersebut perlu dibawa keluar dan dibuang di tanah besar. Pengunjung juga digalakkan terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan di pulau dan sekitar peraiaran pulau. Program kesukarelawanan ini juga boleh disertai oleh pelajar dan staf UPM bagi memupuk kemahiran insaniah warga UPM.

Delegasi UPM juga berpandangan pembangunan paling minimum yang bersifat mesra alam sekitar perlu diperkenalkan di Kepulauan Songsong. Selain Kepulauan Songsong, terdapat beberapa produk lain yang boleh diketengahkan sebagai sumber ekonomi komuniti tempatan.

Lawatan susulan dengan lebih ramai pakar daripada UPM perlu dilakukan untuk memperhalusi aspek pembangunan yang sesuai dibangunkan di daerah itu dengan segala sumber yang mereka ada sekarang. - UPM

WXEZOAl~