| Universiti Putra Malaysia

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilantik Professor of Practice di Putra Business School

Oleh Khirul Anuar Muhamad Noh

SERDANG, 9 Okt - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai Professor of Practice di Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pelantikan itu diumumkan oleh Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr. Aini Ideris pada Sesi Dialog PBS bersama Menteri Besar Perak, bertajuk “MB3P and Perak’s Transformation Journey” di sini.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen berterusan beliau dalam merapatkan jurang antara akademik dan amalan industri.

Turut hadir pada sesi dialog itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Mazalan Kamis; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif PBS, Prof. Dr. Zulkornain Yusop; dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM, Prof. Dr. Azali Mohamed.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Datuk Seri Dr Zambry berkata, pelantikan itu merupakan penghargaan kepada seluruh rakyat Perak.

Beliau sebagai ketua kerajaan, katanya, sentiasa bersedia berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan dan kepemimpinan bersama warga PBS dan UPM.

“Pelantikan ini menyuntik lebih semangat kepada pasukan pentadbiran negeri dalam memastikan Perak terus menikmati kemajuan yang lebih mapan pada masa depan,” katanya.

Terdahulu ketika sesi dialog itu, beliau menerangkan mengenai strategi MB3P serta usaha yang dilaksanakan dalam memajukan ekonomi dan pembangunan Perak.

Pada majlis itu, Perjanjian Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara PBS dan IDR bagi menjalankan penyelidikan dan projek bersama yang berkaitan kepentingan kedua-dua pihak.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini pula berkata, melalui sesi dialog itu, pelajar dapat menimba ilmu melalui pengalaman yang dilalui oleh Menteri Besar Perak itu. - UPM

 

SXEUSAZ~