| Universiti Putra Malaysia

Datin Paduka Seri Rosmah nasihat belia jauhi berita palsu

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

Foto oleh Muhammad Izrul Abdul Jabar

SERDANG, 9 Mac 2018 -  Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menyeru belia supaya menjadi warga internet yang bertanggungjawab dan mampu membezakan antara berita benar dan palsu dalam media sosial.

Beliau berkata golongan belia bermaklumat yang mematuhi etika siber mampu menangkis kesan negatif siber terhadap keamanan, keharmonian dan kemajuan ekonomi.

“Hampir semua orang boleh menghasilkan kandungan dan berkongsinya dengan seluruh dunia tanpa mempedulikan kesilapan maklumat yang boleh menjadi tular di media sosial.

"Kandungan berbahaya itu boleh menggugat ekonomi dan mengancam keamanan serta keharmonian," katanya ketika merasmikan Persidangan Kepimpinan Pelajar untuk Keamanan bertemakan 'Pembinaan Negara Melalui Budaya Hati' di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Persidangan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM dan pertubuhan bukan kerajaan iaitu Women’s Federation for World Peace Malaysia (WFWPM).

Persidangan itu menerapkan semangat patriotisma, cintakan keamanan dan menjadi pemimpin untuk membina negara dalam kalangan pelajar universiti awam.

Turut hadir Penasihat Senior Antarabangsa Women’s Federation for World Peace Malaysia, Dr Yoo Chong Young; Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris dan Yang Dipertua MPP UPM, Aida Fitri.

Datin Paduka Seri Rosmah turut melancarkan ‘Laluan Sutera Keamanan untuk Universiti-Universiti’ dan bertemu dengan beberapa perwakilan Duta-Duta Muda Keamananan dari institusi pengajian tinggi negara.

WXEZEAn~