| Universiti Putra Malaysia

Cipta berus gigi sekali dengan ubat gigi, pelajar Asper menang anugerah paling kreatif

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Foto Oleh: Saleha Haron

SERDANG, 18 Februari: Pelajar Asasi Sains Pertanian Universiti Putra Malaysia (ASPER UPM) memenangi Anugerah Kategori A, Projek paling kreatif pada Pertandingan Inovasi Inter-Asasi Matrikulasi (PIITRAM) 2023.

Pelajar ASPER, Puteri Nur Arissa Yasmin Yusri berkata, beliau dan rakan seperjuangan tidak percaya apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah kategori A, iaitu Projek Paling Kreatif.

“Usaha kami akhirnya sangat berbaloi kerana inovasi ini dilakukan bersama-sama selama sebulan untuk menghasilkan berus gigi dan ubat gigi dalam satu alat bagi memudahkan urusan pengembara.

“Projek yang kami cipta ini direka khusus buat pengembara agar memudahkan mereka untuk membawa berus gigi dan ubat gigi sekali. Ini bagi menjimatkan ruangan bagasi mereka tidak terlalu banyak barang yang perlu dibawa, katanya ketika ditemubual pada Majlis penutupan PIITRAM 2023,”.

Seramai 354 kumpulan  (200 kumpulan fizikal dan 154 kumpulan atas talian) dari universiti awam dan matrikulasi di seluruh Malaysia menyertai PIITRAM 2023 selama dua hari pada 17 sehingga 18 Februari di Pusat Asasi Sains Pertanian, Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM dan Panggung Percubaan UPM.

Sementara itu, pelajar ASPER, Nafha Nabiha Azwan Azrin berharap agar projek inovasi ini dapat dijual kepada pasaran untuk membantu orang di luar sana.

“Kami semua bercadang untuk memasarkan produk ini kerana berus gigi dan ubat gigi ini sangat memudahkan semua orang tak kira pengembara ataupun untuk digunakan harian,” katanya. -UPM

WXFXSAe~