| Universiti Putra Malaysia

Cabaran keluarga bakar semangat dua anggota PALAPES terbaik

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang



semangat dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang lantas bertekad untuk menempa kejayaan sehingga masing-masing terpilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik UPM pada majlis Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam ke-34, baru –baru ini.

Pegawai Rendah Muda Muhammad Syahiran Abd Sukor, 22,  yang mengikuti pengajian Bachelor Ekonomi dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Darat UPM, manakala Pegawai Kadet Kanan Nurul Aini Amkaromi, 24, yang mengikuti pengajian Bachelor Sains Hortikultur dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Laut UPM.

Muhammad Syahiran berkata, abangnya yang juga seorang anggota tentera mencabar beliau dengan kata-kata bahawa susah sekiranya memegang jawatan pegawai.



“Kata-katanya itu membuatkan saya menanam azam untuk berjaya. Saya pula mencabar diri sendiri untuk berjaya dalam PALAPES. Hasilnya saya sendiri tidak menjangka terpilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik Darat,” katanya dalam temu bual.

Beliau yang meminati kawat formasi sejak di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling, Kedah berkata beliau tidak menjangka terpilih kerana terdapat ramai anggota PALAPES terutamanya daripada kalangan Pegawai Rendah Kanan.

“Ketika mengikuti kem latihan tahunan, saya asyik dipilih menjadi ketua, membuatkan saya merungut dan memberitahu pegawai bahawa saya merasakan seperti tidak adil kerana kerap menjadi ketua sedangkan pentauliahan membabitkan ramai anggota, dan merasakan penggiliran ketua lebih wajar ketika kem latihan itu.

“Bagaimanapun ketika jurulatih meminta biodata, saya tertanya-tanya… ketika masa semakin hampir untuk hari pentaulihan, barulah saya tahu dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Darat,” katanya.

Katanya, beliau bersyukur, lebih-lebih lagi kerana beliau juga dipilih sebagai ketua perbarisan pada majlis istiadat perbarisan pentauliahan itu.

Katanya, selepas dimaklumkan mengenai pemilihannya itu, beliau menghubungi kedua ibu bapanya.

“ Ayah seolah-olah tidak percaya…mungkin merasakan saya mengetuai bagi  detasmen UPM saja dan bukan ketua perbarisan keseluruhannya,” katanya yang berhasrat untuk kekal aktif sebagai anggota wataniah selepas menamatkan pengajian di UPM dengan melaporkan diri dengan Unit Wataniah.

Pada majlis Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES itu, seramai 1,620 anggota membabitkan 24 detasmen dari 18 universiti seluruh negara menerima pentauliahan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor UPM.

Bagi Nurul Aini pula, kejayaan beliau terpilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Laut adalah sesuatu yang manis lebih-lebih lagi mengatasi beberapa rakan kadet lelaki, dan sebagai menyahut cabaran abangnya yang kecewa selepas Nurul Aini gagal dalam pemohonan untuk mengikuti pengajian di Akademi Laut Malaysia (ALAM).

“Abang menyuruh saya memohon untuk mengikuti pengajian di ALAM tetapi saya tidak dapat. Lantas saya memasuki PALAPES ketika di UPM.

“Saya terkejut apabila diberitahu dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Laut UPM kerana bersaing dengan ramai calon lelaki,” katanya yang bercita-cita bertugas sebagai anggota tentera selepas menamatkan pengajian dan melapor diri di KD Sri Klang.

Katanya, beliau mula meminati bidang tentera darat ketika mengikuti kursus Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN)  selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas mendapat tawaran menyambung pengajian di UPM Serdang daripada UPM cawangan Bintulu, beliau terus berhasrat untuk menyertai PALAPES Darat tetapi kemudian mengubahnya dan memohon menyertai PALAPES Laut ekoran kawan-kawannya memohon menyertai PALAPES Laut.

“Saya amat gembira apabila berjaya dalam permohonan itu dalam masa yang sama kecewa kerana rakan saya gagal dalam permohonan untuk mengikuti PALAPES Laut,” katanya.  - UPM


SXETRAj~