| Universiti Putra Malaysia

Buku Panduan Kosa Kata Bahasa Melayu untuk murid SJKT

Oleh Thiviyah Manicam

                                                         

SERDANG, 10 Dis – Sekumpulan pensyarah dan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) serta guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menghasilkan Buku Panduan Kosa Kata Bahasa Melayu SJKT untuk menggilap murid SJKT dalam subjek Bahasa Melayu.

Buku itu dilancarkan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris di sini. Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC), Jabatan Perdana Menteri, Prof. Datuk Dr. Rajendran Nagappan dan Presiden Pertubuhan Tulir Malaysia, Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy Subramaniam.

Pelancaran buku itu merupakan lanjutan daripada Program Guru Celik Bahasa Kebangsaan SJKT 2015/2016 yang melibatkan sekolah-sekolah Tamil di lima negeri terpilih iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.

Hasil Program Guru Celik Bahasa Kebangsaan SJKT itu mendapati bahawa guru bukan opsyen Bahasa Melayu di SJKT dan mahasiswa UPM berbakat dalam menghasilkan buku panduan kosa kata bahasa Melayu.

                                                                      

Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini berkata UPM sentiasa memberi sokongan kepada program berasaskan akademik yang dirancang oleh Pertubuhan Tulir Malaysia dalam meningkatkan prestasi subjek Bahasa Melayu di kalangan murid SJKT.

Katanya, ini adalah kali pertama di Malaysia buku-buku panduan berasaskan kosa kata Bahasa Melayu dilancarkan untuk kegunaan murid SJKT.

Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy yang juga pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, UPM pula berkata, masalah kekurangan buku panduan bagi guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan di pasaran  telah melahirkan inisiatif bagi beliau dan ahli kumpulan untuk menghasilkan buku panduan pengajaran Bahasa Melayu bagi tahap satu dan dua.

Buku yang dihasilkan termasuk satu set yang mengandungi lima jenis buku bagi tahap satu dan tahap dua yang dihasilkan berpandukan buku teks dengan setiap helaian buku teksnya dikupas dengan kata nama, kata kerja dan kata adjektif.

Beliau yang juga pemilik inovasi buku panduan kosa kata bahasa Melayu berkata beliau menggunakan buku teks SJKT tahap satu dan tahap dua untuk menghasilkan buku panduan kosa kata itu supaya guru subjek bahasa Melayu dapat membiasakan murid-murid dengan perbendaharaan kata yang sedia ada dalam buku teks.  - UPM

 

 

WXDdPAb~