| Universiti Putra Malaysia

Biogreen Week 3.0 kaedah baharu penerokaan ilmu biologi

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Muhammad Hanif Haswan Masreh, Munira Mohd Nawawi, Najwa Asyiqin Hashim, Nur Hasya Amran & Muhammad Adam Hazieq Mohd Roslan


SERDANG, 28 Jun – Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program “BioGreen Week 3.0 2022” untuk meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar dengan mempelajari dan mempraktikkannya dalam norma baharu.

Program itu telah berlangsung selama seminggu bermula pada 16 Mei 2022 hingga 22 Mei 2022 secara dalam talian melalui pelbagai platform media sosial dan telah berjaya mendapatkan sambutan seramai 2,617 peserta dalam kalangan pelajar UPM, Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta serta institusi pengajian luar.

Penyertaan adalah lebih daripada 200 buah sekolah di mana penyertaan tertinggi daripada sekolah rendah ialah daripada SK Desa Putra, SK Seri Makmur dan SJK (T) Masai manakala penyertaan daripada sekolah menengah ialah daripada SMK Majidi Baru, SMK Tan Sri Mohamed Rahmat dan Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar.

Terdapat juga penyertaan daripada kolej-kolej antaranya Kolej Antarabangsa Greencity, Kolej Genius @ Pintar Negara, Kolej Sultan Abdul Hamid dan Kolej Yayasan Saad Melaka.

Pada sesi kali ini, terdapat 5 aktiviti yang dianjurkan iaitu “Let’s Tapow Day”, “Trash to Treasure”, “Greenovative Day”, “Nature Word Search Challenge”, dan “Earth Day”.

Penasihat program, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata, program “BioGreen Week 3.0 2022” kali ini telah mempersembahkan tema yang berbeza berbanding tahun lalu iaitu “Reuse The Past, Recycle The Present, Save The Future” di mana ia dapat menggalakkan pelajar untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih hijau dengan kaedah yang lebih menarik dan efektif serta bersesuaian dengan konsep norma baharu.

“Program ini membuktikan bahawa penerapan cinta kepada alam sekitar sejak daripada awal adalah penting agar lebih ramai cakna akan kepentingan bumi yang lebih hijau kepada generasi akan datang.

“Selain itu, program ini juga mampu mengasah kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran digital, sosial, kreativiti dan lain- lain sebagai nilai tambah kepada peserta untuk kegunaan akan datang,” katanya.

Tambah beliau, program itu merupakan salah satu daripada inisiatif UPM khususnya Jabatan Biologi dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berkebolehan, bertanggungjawab, berpengetahuan luas, berfikiran kritis serta kompetitif di masa hadapan.

Selain itu, program kali ini turut dijalankan dengan anjuran KIMIA Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) sempena Minggu Sains Negara 2022 yang dikendalikan secara dalam talian melalui aplikasi Instagram, Facebook, dan TikTok.

Program itu turut mendapat tajaan serta sokongan daripada Fakulti Sains, UPM dan KIMIA Malaysia Selain itu, penasihat program iaitu Dr Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir turut memberi peruntukan tambahan sebagai tajaan luar.

Pengarah program, Muhammad Hanif Haswan berkata beliau harap agar program itu dapat menambah pengetahuan baharu serta meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri setiap pelajar di samping membuka ruang untuk mengetengahkan bakat masing-masing dalam pelbagai bidang seperti fotografi, videografi, penulisan, seni lukisan, pengucapan dan inovasi.

“Dengan menggunakan media sosial sebagai platform aktiviti, saya berharap ia dapat membuka mata orang ramai tentang amalan bumi hijau kerana setiap insan memainkan peranan yang besar dalam menjadikan bumi tempat yang selamat untuk didiami,” katanya. -  UPM

SXDdFAa~