| Universiti Putra Malaysia

Berjaya atasi masalah kesihatan mental, raih ijazah bacelor

Oleh: Dr. Cheng Kai Wah

SERDANG, 12 Jan – Masalah kesihatan mental sewaktu melanjutkan pelajaran di United Kingdom membuatkan Farah Syasya Zukrina Ahmad Nazmi, terpaksa berhenti ketika tahun tiga pengajian dan pulang ke Malaysia.

Namun, beliau terus berusaha dan mendapatkan rawatan masalah mental sekurang-kurangnya dua kali sebulan, yang berjaya mengembalikan semangat dan kekuatan rohani dan jasmani untuk beliau kembali semula berusaha untuk berjaya dalam akademik.

Hasilnya beliau menerima ijazah Bacelor Kejuruteraan Awam pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44, di sini hari ini.

Farah Syasya Zukrina, 29, berkata perasaan depresi ketika perceraian ibu bapa membuatkan beliau hampir putus harap dalam kehidupan sehinggakan terdetik untuk menamatkan hidup.

“Sekarang, perkara yang menggembirakan ialah kekerapan saya berjumpa dengan psikiatri sudah berkurangan,” katanya yang berjaya menerima ijazah Bacelor itu dalam tempoh tiga tahun.

Beliau merupakan calon Master Sains dalam bidang Kejuruteraan Trafik dan Pengangkutan di Sekolah Pengajian Siswazah, UPM.

Katanya, beliau sangat menghargai tempoh belajar di UPM kerana beliau berpeluang menenangkan fikiran bersama-sama rakan sekelas dengan bermain boling, badminton dan menonton wayang.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pensyarah Fakulti Kejuruteraan, UPM dan rakan-rakan sekelas yang amat mengambil berat serta sentiasa memberi sokongan kepada saya. Saya tidak akan berada di sini tanpa mereka.

“Saya berasa amat gembira untuk berdiri di atas pentas Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM menerima ijazah,” katanya.

Beliau berharap mahasiswa tidak memandang ringan terhadap setiap masalah peribadi walaupun kecil, dan supaya tidak malu meluahkannya dengan rakan yang boleh dipercayai kerana sokongan semangat daripada orang di sekeliling amat penting ketika menghadapi cabaran dalam kehidupan. – UPM

SXEZCAj~