| Universiti Putra Malaysia

BERDEPAN DENGAN MASALAH KEWANGAN TIDAK HALANG GRADUAN RAIH SEGULUNG IJAZAH

Oleh: Nazrul Rapail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Lingustik Melayu)

SERDANG, 23 Mac - Piragathiswaran a/l Sashi Kumar, 25 berjaya menamatkan pengajiannya dalam Bacelor Komunikasi dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) melalui program eksekutif (separuh masa) pada sesi terakhir Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Anak sulung daripada dua orang adik beradik itu berjaya menamatkan pengajiannya meskipun berdepan dengan masalah kewangan.

Anak kelahiran Raub, Pahang itu, tinggal bersama nenek dan atuk serta adiknya S.Suwajhoti, 22. Ibu bapanya telah berpisah membuatkan beliau mula untuk hidup berdikari dan menjana pendapatan sendiri semasa berada di UPM.

Piragathiswaran di waktu pengajiannya banyak menghabiskan masa dengan melakukan pelbagai pekerjaan sambilan untuk menampung kehidupannya.

“Perkara yang paling sukar untuk saya lupakan ialah semasa saya bekerja memasang kanopi, waktu tengah hari, besi cukup panas dan saya sangat baru dalam melakukan kerja-kerja seperti ini, saya menangis semasa kali pertama bekerja kerana sangat mencabar bagi saya,” katanya.

Piraghatiswaran juga pernah bekerja sebagai pembantu kedai dan juga dalam perkhidmatan pelanggan di sekitar Raub. Selain itu, beliau juga pernah bekerja di kilang besi dan bertahan selama setahun ketika berada di pengajiannya.

Kemudiannya, pada penghujung tahun 2019, datuknya meninggal disebabkan kanser usus. Keadaan itu lebih menyukarkan beliau dan hampir berputus asa untuk belajar.

Neneknya juga perlu berniaga nasi lemak setiap hari untuk dihantar ke beberapa buah kedai.

“Pada waktu pagi saya akan pergi ke beberapa buah kedai untuk menghantar nasi lemak yang nenek saya buat  dan kemudiannya pada waktu petang pula saya akan membantu nenek membeli barangan keperluan berniaga,” katanya.

Sebelum ini, ibunya bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan dan serba sedikit membantu memberikan wang perbelanjaan kepada Piragathiswaran. Kini ibunya berpindah ke Singapura disebabkan kesukaran pekerjaan di era pandemik ini di samping ingin mencari sumber pendapatan yang lebih.

Piraghathiswaran akui ada beberapa cabaran yang perlu beliau lalui sebelum menggenggam segulung ijazah pada hari ini.

“Setiap hari, saya akan bangun pada jam empat pagi untuk mengambil masa bagi menguruskan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Begitu juga pada waktu malam saya akan gunakan sedikit bagi melakukan tugasan yang tertunggak, selebihnya saya akan keluar bekerja.”

“Bagi saya, kita boleh memiliki apa yang dinginkan tetapi hanya perlu berusaha dan bekerja keras baru kita akan dapat sesuatu yang kita mahukan,” katanya.  - UPM

SXEZUAb~