| Universiti Putra Malaysia

’Bengkel Mengenali Busana Melayu’ papar tatacara pemakaian busana Melayu

Oleh Yus Sharmiza Yushriman

Foto Nasrul Izam Kamaruddin

SERDANG, 19 Mac – Warisan Melayu perlu terus dipelihara agat tidak luput ditelan arus pemodenan.

Sehubungan itu, Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), menganjurkan ’Bengkel Mengenali Busana Melayu’ bagi memberikan pendedahan tatacara pemakaian serta keindahan busana Melayu.

Pengarah program, Siti Noor Aisyah Mazarrudin berkata bengkel itu diharapkan akan melahirkan anak-anak muda yang mempunyai minat mengkaji warisan Melayu dalam usaha memelihara dan memulihara warisan berkenaan.

”Bengkel ini turut memfokuskan cara betul pemakaian busana Melayu yang sebenarnya, yang menjadi lambang status sesebuah masyarakat tetapi tidak diketahui oleh generasi masa kini kerana dianggap kolot dan tidak mengikut gaya peredaran zaman,” katanya.

Antara penceramah yang dijemput ialah Budayawan Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Siti Zainon Ismail yang membincangkan topik ’Melestarikan Busana Melayu tinjauan Koleksi Anak Negeri Selangor’.

Beliau mengupas mengenai kronologi perubahan pakaian wanita Melayu 1930-an sehingga 1970-an di Gombak sekaligus menyusuri laluan seni warisan Melayu.

”Pendedahan mengenai ilmu warisan Melayu dan keunikannya mampu menarik minat masyarakat untuk mendalami serta mempertahankan agar diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Slot kedua diisi Demonstrasi Tanjak Perak oleh Hamzah Nizar berkaitan lipatan tanjak pada zaman dahulu yang melambangkan status sosial pemakai.

Slot terakhir oleh Pensyarah dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM, Prof. Madya Dr. Nazlina Shaari adalah mengenai ’Menjejak Estetika Seni Tenunan di Negeri Cik Siti Wan Kembang’.

Prof. Madya Dr. Nazlina berkata seni tenunan Kelantan, kain punca potong, kain limar, dan kain songket merupakan antara kraftangan warisan yang dikenali dan gemilang pada abad ke-17.

”Penghasilan seni reka tekstil tradisional merupakan satu bentuk kemahiran dan kreativiti masyarakat tempatan yang diwarisi turun-temurun,” katanya.

Turut diadakan adalah pameran oleh Muzium Warisan UPM dan Warisan Budaya Enterprise serta gerai menjual tanjak, persalinan tradisional dan buku sejarah. - UPM 

WXDdOAy~