| Universiti Putra Malaysia

Baka baru ayam kacukan UPM mampu bertelur empat kali ganda setahun

Oleh Syifarida binti Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, Jun (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalankan penyelidikan dalam pembiakan ayam menerusi penghasilan baka kacukan antara ayam kampung dan ayam hutan yang dinamakan spesies Akar Putra.

Tujuan penyelidikan adalah untuk menghasilkan baka ayam kampung yang lebih cergas, proses pembesaran yang lebih cergas, sekali gus meningkatkan jumlah pengeluaran telur.

Penemuan baka baru ayam kampung itu mampu memberi nilai tambah kepada kegiatan komersial bidang itu, sama ada untuk daging atau telur dan mampu menampung kekurangan ayam kampung di pasaran berikutan permintaan tinggi masyarakat.



Ketua kumpulan penyelidikan itu, Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti UPM (UCTC-UPM), Prof. Madya Dr. Azhar Kasim berkata Akar Putra itu mampu menghasilkan 120 hingga 200 biji telur setahun berbanding ayam kampung yang biasanya bertelur sebanyak  50 biji setahun.

“Telur yang dihasilkan lebih besar, mencapai 60 gram sebiji berbanding telur ayam kampung biasa 45 gram selain warna kulit sawo matang.

“Tempoh pembesaran Akar Putra lebih singkat berbanding ayam kampung biasa iaitu tidak melebihi 13 minggu dan menghasilkan ayam seberat 1.2 hingga 1.4 kilogram seekor.  Oleh itu baka ini menguntungkan untuk aktiviti komersial kerana boleh dipasarkan lebih awal.

“Ayam Akar Putra diternak secara lepas bebas supaya ia dapat kekal aktif untuk mendapatkan ayam yang berotot dan kurang lemak.

“Pemeliharaan secara lepas dan juga organik ini dapat meningkatkan khasiat bukan saja daging, malah telurnya turut diperakui dalam banyak kajian,” kata Dr Azhar, seorang pakar dalam pemakanan haiwan dan analisis sistem.




Beliau berkata Akar Putra dikategorikan baka hibrid yang memiliki fizikal berbeza daripada ayam kampung biasa seperti leher tanpa bulu, berkaki panjang, badan yang jinjang dan lebih berisi.

Selain itu, katanya baka Akar Putra juga mempunyai lebih ketahanan terhadap penyakit terutama sampar.

Dr. Azhar menjelaskan proses kacukan itu berlaku secara kebetulan, apabila ayam hutan yang berkeliaran di kawasan itu memasuki UPM dan mengawan.




UPM telah menjalankan penyelidikan bermula 2007 yang memberi tumpuan khusus kepada baka yang dihasilkan secara semula jadi  dan kajian berjaya menghasilkan induk betina (female parent line).

Akar Putra mempunyai banyak kelebihan dan khasiat serta mempunyai potensi untuk menembusi pasaran luar negara.

UPM mengalu-alukan usaha sama dengan pihak lain bagi mengetengahkan baka Akar Putra dalam pasaran awam.

Untuk Pertanyaan sila hubungi:

Dr. Azhar Kasim

Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti UPM (UCTC-UPM)  

Tel: +603-8947 1803

Email: azhar@apeec.upm.edu.my


WXETHA2~