| Universiti Putra Malaysia

Atlet ragbi kebangsaan niaga laksa, bantu sara keluarga sejak ayah lumpuh

Oleh Hendra Rijal

 

SERDANG, 30 Okt - Keluarga merupakan keutamaan Mohd Aliff Al-Hafiz Abdul Karim, atlet kebangsaan ragbi, sejak ayahnya lumpuh separuh badan kerana angin ahmar empat bulan lalu.

 

Mohd Aliff Al-Hafiz yang mewakili negara di ASEAN Rugby Championship Premier 2018 dan meraih pingat gangsa berkata, beliau hampir tidak hadir ke Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-42, hari ini kerana risau akan kesihatan ayahnya Abdul Karim Saad, 54,  yang tidak lagi mampu menguruskan diri.

 

Namun, ayah mana yang tidak mahu melihat saat manis anaknya menerima ijazah walaupun terpaksa disorong atas kerusi roda ke majlis itu.

 

Mohd Aliff Al-Hafiz, 24, dari Kuala Kangsar, Perak menerima Ijazah Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Pengajian Sains pada malis konvokesyen itu hari ini.

 

Aliff ketika ditanya sama ada buat masa ini mahu menyambung pengajian atau bermain ragbi, berkata keutamaannya sekarang adalah kepada keluarga dan selepas itu baru menyambung pengajian sarjana dan bermain ragbi.

 

“Bapa saya menyara saya selama 24 tahun, takkan saya tak boleh menyara dia ketika dia tidak sihat. Jadi tidak mengapa, saya tolak ke tepi dulu ragbi dan perkara lain,” katanya.

 

Walaupun berhasrat menyambung pengajian di peringkat sarjana, namun niat itu ditangguhkan buat masa sekarang.

 

“Sebelum saya habis belajar saya ada tanya kawan-kawan apa yang patut saya buat selepas tamat pengajian, kerja terus atau honeymoon dulu. Sebaik saya habis belajar, Allah swt  tunjuk terus yang saya kena kerja sebab ayah saya jatuh sakit,” katanya.

 

Beliau kini mengusahakan gerai laksa milik keluarga, Laksa Karim Kuala Kangsar yang merupakan pendapatan tunggal keluarganya. - UPM

SXEUCA~