| Universiti Putra Malaysia

ASPer UPM beri pendedahan awal sambung pengajian di UPM kepada calon SPM 2023

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin


SERDANG, 25 Januari- Jawatankuasa Tertinggi Pelajar Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPer), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pihak pengurusan Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), UPM beri pendedahan awal kepada Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian di UPM pada program Kem Jati Diri Pelajar SPM 2023.

Hasil koloborasi dalam program itu secara langsung memberi pendedahan awal kepada pelajar SMK Dato’ Ali Hj Ahmad, SMK Tan Sri Osman Mohd Sa’at dan SMK Dato’ Penggawa Barat Pontian, Johor mengenai kebaikan melanjutkan pengajian di peringkat tinggi selepas tamat tingkatan lima.

Pengetua KTAG, Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor berkata, program itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali kekuatan serta potensi diri melalui latihan dalam kumpulan agar pelajar lebih bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM.

“Penglibatan mahasiswa UPM di dalam program kesukarelawan menjadi nilai tambah  kepada graduan UPM serta seiring dengan kehendak majikan masa kini yang boleh dimanfaatkan pada alam pekerjaan kelak,” katanya.

 Baru-baru ini Jawatankuasa Tertinggi Pelajar Pusat Asasi Sains Pertanian UPM dan Pihak pengurusan Kolej Tan Sri Aishah Ghani mengadakan Program Kem Jati Dari Pelajar SPM 2023 selama dua hari satu malam kepada 30 orang pelajar di Kolej Tan Sri Aishah Ghani.

Sementara itu Pengarah Projek Kem Jati Diri Pelajar SPM 2023, Muhammad Rusydan Zahariman berkata, diharapkan para pelajar yang menyertai program kem motivasi ini berminat untuk menyambung pengajian di Asasi Pertanian UPM.

“Harapan saya, selepas pelajar ini tamat SPM mereka dapat memilih kos yang diminati dan tidak mengfokuskan kepada pelajaran semata-mata tetapi Kokurikulum juga,” katanya. -UPM

WXEYFA~