| Universiti Putra Malaysia

Artifak bentuk artistik dipersembah di pameran NYAWA’17: LIGHT

Oleh Auliyaa Putri Ulfana

 

                                                                             

 

SERDANG, 20 Nov –  Sebanyak 21 artifak bertemakan cahaya, yang terdiri daripada hasil kajian saintifik penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dipersembahkan menggunakan teknologi interaktif, kini dipamerkan di Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM.

Ia dipamerkan pada pameran berindeks ‘Nature’s Yield and Wonders of Art 2017’ (NYAWA’17: LIGHT) dari 8 Nov 2017 hingga 30 April 2018, yang dianjurkan Bahagian Edu-Park, Putra Science Park, UPM.

Setiap artifak dipersembahkan dalam bentuk artistik seperti seni digital dan seni grafik. Pameran itu boleh memperluaskan lagi perspektif masyarakat terhadap sains dan seni kerana kedua-duanya mempunyai kombinasi yang akan menjadi satu wasilah dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali ketika merasmikan pameran itu berkata sebuah penerbitan berindeks akan diterbitkan sempena pameran itu mengandungi artikel dan foto sepanjang pameran.

 

                                                                           

 

Katanya, ia boleh diakses melalui capaian ‘Virtual Library Museum Pages’ (VLMP), yang merupakan sebahagian daripada ‘International Council of Museums’ (ICOM) yang berpangkalan di Paris, Perancis.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Putra Science Park, Prof. Madya Dr. Samsilah Roslan.

Waktu lawatan pameran NYAWA’17: LIGHT ini ialah dari jam 9 pagi hingga 4 petang (Isnin-Jumaat), dan dibuka untuk kunjungan pada waktu malam dan hujung minggu dengan tempahan awal.  Sehingga kini, lebih 1,000 pengunjung telah melawat pameran NYAWA’17: LIGHT sejak ia dibuka pada 8 November lalu.

Pameran NYAWA’17: LIGHT ini merupakan pameran edisi keenam bermula dengan NYAWA’12: FRUIT, NYAWA’13: INSECT, NYAWA’14: MICROBE, NYAWA’15: BIRD, dan NYAWA’16: BRAIN. – UPM

WXETSAM~