| Universiti Putra Malaysia

Anugerah Merdeka 2018 nobat Prof. Hair Bejo penerima kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi

Oleh: Khairul Anuar Muhamad Noh

 

KUALA LUMPUR, 3 Sep – Pensyarah dan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd Hair Bejo dianugerahkan penerima Anugerah Merdeka 2018 bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi atas sumbangan kepakaran kepada rakyat, negara dan global.

 

Prof Hair dianugerahkan atas sumbangan luar biasa dan peranan pentingnya memajukan usaha ke arah penghasilan makanan mampan melalui pembangunan dan pengkomersialan vaksin penyakit ayam iaitu merawat penyakit Gumboro yang memberi manfaat kepada industri ayam di Malaysia dan antarabangsa.

 

Prof. Hair merupakan antara tujuh tokoh yang menerima Anugerah Merdeka 2018 mengikut lima kategori yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka di sini hari ini. Raja Perempuan Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat ke majlis itu.

 

Lima kategori tersebut ialah Kesihatan, Sains dan Teknologi (dua penerima), Pendidikan dan Komuniti, Alam Sekitar, Pencapaian Ilmiah Unggul (dua penerima) dan Sumbangan Luar Biasa kepada rakyat Malaysia.

 

“Anugerah ini memberi makna yang besar kepada pasukan penyelidikan saya dan semua penyelidik untuk meningkatkan motivasi daripada menukar satu idea kepada rekacipta, inovasi dan pengkomersilan. Angerah ini juga menyuburkan sumbangan budaya kecemerlangan dan mencambahkan  peluang yang besar,” ujar Prof. Hair dalam ucapan penerima.

 

Sumbangan Prof. Hair dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan penyakit virus Gumboro yang menyebabkan kematian ayam yang tinggi dan hilang daya tahan di Asia pada dekad 1990-an menyebabkan beliau dianugerahkan WVPA – Merial Innovation in Vaccination Award pada tahun lalu

 

Anugerah Merdeka dianjurkan oleh PETRONAS, ExxonMobil dan Shell pada tahun 2007 untuk mengenalpasti dan menghargai pencapaian individu dan organisasi yang menyumbang kepada pembangunan negara serta memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

 

Setiap pemenang menerima sijil, piala, karya seni dan wang tunai serta diberi penghormatan untuk dicatatkan dalam sejarah negara bersama 44 individu dan dua organisasi yang pernah menerima anugerah berkenaan sebelum ini. - UPM

SXESNAm~