| Universiti Putra Malaysia

AnSci anjur kempen derma darah bantu tingkatkan bank darah negara

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 
 
 
SERDANG, 15 Disember - Kelab Sains Haiwan (AnSci) UPM menganjurkan kempen derma darah peringkat Fakulti Pertanian bagi membantu menambah stok bekalan darah negara.
 
Pengarah program, Adriana Athira Anas Adlan, 21, berkata menerusi kempen derma darah ini akan memberi manfaat kepada komuniti secara keseluruhannya.
 
 
"Saya juga sangat gembira melihat penyertaan yang sangat menggalakkan daripada pelajar Fakulti Pertanian bahkan pelajar fakulti lain dan kakitangan UPM yang turut serta dalam menyertai kempen ini. 
 
"Bermula pukul 10 pagi tadi, dewan Fakulti Pertanian ini sudah dipenuhi dengan para penderma dan sehingga 1.30 petang hampir 200 penderma kita berjaya kumpulkan," katanya. 
 
Aktiviti seumpama ini perlu diteruskan dalam mencapai Matlamat 1 Pelan Strategik UPM 2021-2025, Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.
 
Tambahnya lagi, pelaksanakan kempen dengan kerjasama Pusat Darah Negara ini menunjukkan warga UPM mempunyai kesedaran yang amat tinggi dalam membantu mereka yang memerlukan. 
 
Negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah 350 mililiter (ml) hingga 450ml sehari setiap hari bagi menampung permintaan tinggi dalam kalangan pesakit memerlukan. -UPM

SXEUTAd~