| Universiti Putra Malaysia

Anggota sukarelawan ketepikan risiko, redah selut bantu mangsa banjir

Oleh Azman Zakaria

SERDANG, 19 Jan 2015 (UPM):  Berdepan pelbagai risiko – menaiki kenderaan melalui jalan raya yang sebahagiannya runtuh,  mengharungi air yang tidak diketahui bahaya yang menanti, meredah selut se paras lutut – antara pengalaman getir yang dilalui kira-kira 900 pelajar dan staf Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menyertai “Misi Sukarelawan Bantuan Mangsa Banjir” di Pantai Timur.

Membersihkan bangunan awam dalam keadaan hujan lebat dari pagi hingga ke petang,  ketiadaan elektrik dan bekalan air paip serta tiada peralatan seperti mop juga antara cabaran yang ditempuh anggota sukarelawan itu.

Namun itu tidak sedikit pun menjejaskan semangat dan komitmen mereka, malah setelah pulang ke UPM, ada yang tidak sabar-sabar mahu pergi menyertai fasa berikut dalam misi bantuan kemanusiaan itu.



Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed yang mengetuai misi itu berkata,  program berkenaan membabitkan tujuh misi ke Kelantan dan Pahang.

Misi pertama dari 2 hingga 5 Januari adalah di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan;  misi kedua pada 5 Januari  di Bera, Pahang; misi ketiga dari 8 hingga 11 Januari ke Pekan, Pahang serta ke Rantau Panjang; misi keempat  dari 11 hingga 14 Januari di Pekan; dan misi kelima dari 13 hingga 16 Januari juga di Pekan.

Misi keenam dibuat dari 23 hingga 25 Januari di Kuala Krai, manakala misi ketujuh dari 24 hingga 27 Januari di Pekan.

Melalui misi “ 3 D” (Derma, Dorong, Doa) itu barang keperluan yang disumbangkan staf dan pelajar dikumpulkan sebelum dibawa ke pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang  untuk dibawa oleh pesawat ke Pantai Timur.



Kumpulan  misi UPM juga ada membawa barang keperluan untuk mangsa banjir,  selain turut membawa peralatan untuk kerja-kerja pembersihan seperti penyapu dan sabun.

“Selepas kami tiba di Kelantan, pihak penyelaras di Bilik Gerakan menugaskan kami  ke Klinik Kesihatan Bandar di Pasir Mas. Klinik itu ditutup kerana dipenuhi selut yang tebal. Kami bekerja membersihkannya dari pagi hingga ke pentang, dan keesokannya klinik itu dibuka semula,” kata Noor Mohamad.

“Di Sekolah Kebangsaan Paloh Hinai, Pekan pula kami membersihkan dua blok bangunan,  ketika dua blok bangunan lain masih dinaiki air.  Keadaan umpama baharu dilanggar Garuda, perkakasan kerusi, meja dan buku-buku bersepah. Kami bekerja dari pagi hingga petang dalam keadaan hujan lebat.,” katanya.

Misi juga pergi ke SK Mambang, SK Tanah Rom, dan SK Gintong, kesemuanya di Pahang.



“Ketika kumpulan pertama kami tiba di Kuala Krai, Kelantan pula, ada tempat  yang terputus bekalan air, tiada bekalan elektrik menyebabkan ’water jet’ tidak boleh digunakan.”

“Mop pula tidak ada, kerana kedai turut terjejas dengan banjir dan juga mungkin kerana telah kehabisan akibat permintaan yang tinggi,” katanya.

Pelajar tahun dua, Fakulti Perubatan, R.Kalaiselvan yang menyertai misi itu berkata mereka memang terharu melihat kesan akibat bencana itu dan ada pelajar yang menangis kerana sedih melihat keadaan itu.

“Ketika kami membersihkan sebuah sekolah di Pekan bekalan air hanya ada pada hari pertama sahaja. Pada hari kedua tidak ada air,  kami bersemangat untuk bekerja tetapi bekalan air pula tiada,” katanya.




Beliau dan rakan-rakan berasa puas dapat menghulur bantuan dan berbakti kepada mangsa banjir. “Walaupun memang amat letih tetapi kami gembira dapat membantu… apabila sudah balik, ada di kalangan kami yang bertanya ‘bila nak pergi semula membantu’. Kami bersemangat.”

Seorang lagi pelajar yang menyertai misi itu, Nor Fazlin Abdul Wahab berkata beliau terbabit dalam membantu kerja-kerja memasukkan barang-barang yang disumbangkan orang ramai ke dalam kotak dan mengangkutnya ke dalam pesawat di Pangkalan TUDM Subang.

Seramai 40 pelajar dan staf UPM terbabit dalam kerja-kerja di pangkalan TUDM Subang itu, selain ramai sukarelawan lain. “Kami mengasingkan pakaian lelaki, wanita serta kanak-kanak ke dalam. Rasa puas, semua pihak memberikan komitmen penuh.” 

Banjir itu bagaimanapun mencatat peristiwa tragis apabila pelajar tahun tiga, Fakulti Perhutanan UPM, Mohd Fadzil Noor Haji Johar terkorban di kampungnya di Kampung Temai Hilir, Pekan akibat lemas ketika membantu keluarganya. - UPM


SXDdKAX~