| Universiti Putra Malaysia

850 anjing dihimpun sempena Dogathon untuk kumpul dana haiwan terbiar

Oleh : Noor Eszereen Juferi

Foto oleh : Norazreen Awang

 

SERDANG, 19 Feb – Sebanyak 850 ekor anjing dihimpun melalui program Dogathon 2017 bagi mengumpul dana Projek Pengkasian Haiwan Terbiar (PRO-KASIH).

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd Hair Bejo berkata, program itu dimulakan pada 1997 sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai haiwan terbiar.

“Program ini secara tidak langsung mampu meningkatkan tahap kesedaran di kalangan komuniti setempat berhubung penjagaan haiwan peliharaan dan kebajikan haiwan jalanan,” katanya semasa merasmikan program Dogathon 2017 di Bukit Ekspo, UPM. Ia dianjurkan para pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, UPM.

Katanya, ia juga merupakan medan untuk membincangkan langkah yang berkesan dalam mengatasi permasalahan haiwan terbiar itu.

“Dogathon dapat menyebarkan maklumat berkaitan haiwan kesayangan kepada orang ramai melalui pelbagai sudut seperti tanggungjawab sebagai pemelihara, penjagaan kesihatan haiwan, kaedah pelaksanaan penjagaan kebajikan haiwan terbiar serta maklumat kerjaya sebagai ahli veterinar,” katanya.

Pengarah program, Gan Hwee Yee berkata program itu memberi pendedahan kepada pelajar Fakulti Perubatan Veterinar UPM berkaitan persediaan sebelum memasuki lapangan pekerjaan dalam bidang perubatan veterinar.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengurus dan mengatur program berasaskan aktiviti kebajikan masyarakat, selain turut memperkenalkan perkhidmatan Hospital Veterinar UPM,” katanya.

Program Dogathon 2017 yang bertemakan “The Big 20” itu melantik Joanna Joseph dan Maggy Wang sebagai Duta Dogathon 2017.

Antara baka anjing yang dihimpun pada Dogathon 2017 adalah German Shepherds, Poodle, Golden Retriever, Siberian Husky, Malamute, Rottweiler, Great Dane, Corgi, Pittbull, Chow Chow, Shih Zhu, Labrador, Boxer, Pomeranian, Bull Terriers, Terriers dan Schnauzer. - UPM

 

WXEXUA5~