| Universiti Putra Malaysia

80 pelajar UPM ikuti Misi Bantuan Mangsa Banjir Monsun Timur Laut 2022

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

SERDANG, 31 Dis - Seramai 80 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengikuti Misi Bantuan Mangsa Banjir Monsum Timur Laut 2022 ke Tumpat, Kelantan dan Besut, Terengganu bagi menyalurkan khidmat bakti kepada mangsa banjir.

Pelajar UPM yang antaranya terdiri daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan Kelab Insaniah (INSAN), UPM.  

Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan Pengarah Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar, UPM, Prof. Madya Dr. Omrah Hassan @ Hussin turut hadir untuk melihat proses pelepasan pelajar tersebut.

Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan berkata ini merupakan satu inisiatif UPM untuk memberi pendedahan serta pengalaman kepada pelajar mengenai pentingnya kesukarelawan bagi membina jati diri pelajar yang unggul.

“Saya berharap pelajar UPM akan memanfaatkan peluang ini sebagai satu motivasi untuk berbakti kepada komuniti dan juga saya berterima kasih atas usaha pelajar dalam menjayakan program ini,” katanya

Pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), UPM, Nurul Amrah Najwa Azlan berkata, ini merupakan pengalaman pertama beliau mengikuti program kesukarelawan sebegini.

“Saya meminati aktiviti kesukarelawan dan apabila mendapat peluang ini saya berasa teruja dan berharap usaha saya ini sedikit sebanyak dapat membantu proses pembersihan rumah mangsa banjir,” katanya.

Pelajar Bacelor Sains Dengan Pendidikan (Kepujian) Fizik, Fakulti Sains, UPM, Amirul Amin Amran berkata aktiviti kesukarelawan merupakan satu aktiviti yang bermanfaat serta memberi kemahiran insaniah yang boleh diaplikasikan kelak.

“Aktiviti ini adalah baik untuk diterapkan kepada diri saya dan saya juga berharap pelajar UPM untuk terlibat sama dalam program sebegini kerana ianya secara langsung membuka minda pelajar untuk melihat keadaan dunia di luar,” katanya.

Sementara itu, siri pertama Misi Bantuan Banjir UPM ke Bachok, Kelantan telah dijalankan pada  23 Disember lalu yang telah disertai oleh  40 pelajar sukarelawan Kor SISPA UPM. - UPM

WXDdTA3~