| Universiti Putra Malaysia

632 pelajar UPM serikan hujung minggu dengan larian berwarna

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 13 Nov - Seramai 632 pelajar UPM menceriakan hujung minggu mereka dengan menyertai Aishah Ghani's Colour Run 2022 yang dianjurkan oleh Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) di sini, hari ini.

Pengetua KTAG, Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor berkata keseronokan jelas terpampang di wajah lebih 600 pelajar apatah lagi penyertaan larian 3.5km ini bukan hanya daripada penghuni KTAG sahaja.

"Saya tidak menyangka untuk mendapat sambutan yang luar biasa sehingga Dewan Putra 1 KTAG penuh sehingga tidak muat dewan untuk aktiviti zumba sebelum larian. Kita juga dapat membawa budaya hidup sihat dalam kalangan pelajar UPM," katanya.

Sementara itu, pelajar Kejuruteraan Mekanikal, Semester pertama, Muhammad Aidil Mohd Nizam yang juga pengarah program meluahkan rasa gembira apabila program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada semua kolej.

"Objektif larian ini dibuat bagi membawa para pelajar yang sudah dua tahun tidak menyertai larian bersama akibat pandemik dan lebih mengenali UPM serta mengeratkan hubungan memandangkan pelajar sudah boleh kembali ke kampus seperti biasa.

"Saya juga tidak sangka sambutan peserta seramai ini dan saya berasa sangat gembira. Mungkin pihak kami akan membuat Aishah Ghani's Colour Run 2.0 pada tahun hadapan," katanya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu, Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah dan Waris Tan Sri Aishah Ghani, Datuk Astaman Abdul Aziz. -UPM

SXEUWA~