| Universiti Putra Malaysia

40 tahun abadikan diri di UPM sebagai staf yang berkaliber

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

SERDANG, 26 Mei - Staf Universiti Putra Malaysia (UPM) seakan sukar untuk percaya bahawa telah menghabiskan selama 40 tahun dalam hidup untuk berkhidmat di UPM yang dikenali umum.

Sepanjang tempoh perkhidmatan di UPM banyak kenangan dan memori indah yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat, lagi-lagi jatuh bangkit dalam mengorak langkah kehidupan yang penuh berliku sejak muda sehingga berjaya memiliki harta dan sebuah kehidupan keluarga bahagia.

Pada Majlis Gemilang UPM 2022 kali ini, 11 staf telah menerima Anugerah Perkhidmatan Melebihi 40 tahun mereka.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Abdul Rahim Utar, memulakan kerjayanya di UPM pada tahun 1981 sebagai Pembantu Makmal di Fakulti Pertanian dan seterusnya dinaikkan pangkat ke jawatan Penolong Pegawai Sains pada tahun 2000.

Beliau kemudiannya mengambil inisiatif untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Bacelor Sains Pembangunan Manusia, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM ketika sedang berkhidmat dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2004.

“Saya dahulu tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran kerana beri peluang kepada adik-adik untuk berjaya dan apabila saya berkhidmat di UPM rugi jika tidak saya mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian saya,” katanya.

Tambahnya, beliau sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dan sentiasa memberikan kerjasama yang tinggi demi kecemerlangan UPM.

Staf Pejabat Bursar, UPM, Siti Asnah Ali yang sangat mencintai kerjaya ini di UPM selama 40 tahun atas faktor suasana dan rakan-rakan membuatkan beliau terlalu obses bekerja sehingga meluangkan lebih masa terhadap kerjayanya.

“Berkhidmat di pejabat Bursar selama 40 tahun tiga bulan sebagai Pembantu Tadbir membuatkan saya kuat berusaha dan tidak pernah mengalah. Sepanjang berkhidmat di UPM telah menerima empat kali anugerah di Majlis Gemilang Putra,” katanya.

Namun, bagi staf Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), UPM, Mohd Masran Mat Aris berkata, beliau mula berkhidmat di UPM sebagai kerani pada awalnya dengan gaji RM 170 ketika itu.

“Berkat dari doa keluarga tersayang dan sokongan daripada kawan-kawan yang banyak memberi kata-kata semangat buatkan saya berjaya memegang jawatan ini,” katanya.

Beliau turut kongsikan pengalaman beliau ke tempat kerja dengan berjalan kaki sahaja serta turut memberi pesanan dalam pekerjaan perlu ikhlas dan bukan untuk mendapat penghargaan serta belajar dari bawah untuk mendapatkan ilmu.

“Ingat jika hendak berjaya jangan pernah malu bertanya walau orang itu berjawatan rendah dari kita, kerana ilmu setiap orang itu berbeza-beza.,” katanya.

Sementara itu, Majlis Gemilang Putra UPM 2022 adalah majlis apresiasi yang diadakan setiap tahun oleh Pejabat Pendaftar, UPM untuk menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih universiti kepada staf cemerlang mencurah bakti dengan amanah dan penuh iltizam. - UPM

WXDcXAm~