| Universiti Putra Malaysia

40 peserta ikuti latihan pencegahan penyakit zoonotik haiwan liar

Oleh: Norsaiful Bahri Abdul Habib

 

SANDAKAN - Malaysia One Health University Network (MyOHUN), Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Latihan Pencegahan Zoonotik Haiwan Liar dan Kesihatan Ekosistem Tropika baru-baru ini.

Seramai 40 peserta dari UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaya (UM) yang berlatar belakangkan kursus Perubatan dan Veterinar menyertai latihan itu.

Ketua Projek, Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan berkata latihan tertumpu kepada penyakit yang boleh berjangkit dari haiwan kepada manusia dan sebaliknya.

“Latihan ini juga untuk memupuk kesedaran mengenai haiwan liar yang terancam dan punca mereka disenaraikan sebagai spesies terancam,” katanya.

 

Beliau berkata peserta diberikan pemahaman mengenai interaksi antara hidupan liar, manusia dan alam sekitar serta menghargai pentingnya bekerjasama untuk mencapai matlamat dalam mencegah penyakit berjangkit.

“Latihan ini mendedahkan peserta mengenai kesedaran sebagai duta One Health di masa hadapan di mana bekerjasama dapat menjadikan dunia tempat yang lebih baik untuk didiami,” katanya.

Turut mengikuti latihan ialah pekerja Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok (SORC) dan enam felo dari Southeast Asia One Health University Network (SEAOHUN) dari Vietnam, Thailand, Bangladesh dan Malaysia.

 

Pelajar tahun kedua Doktor Perubatan Veterinar, UPM, Ilyas Hanafi Razali berkata  latihan itu meningkatkan pengetahuannya, termasuk mengenai kesan bagaimana penyakit berjangkit dapat menghapuskan keseluruhan spesis jika tindakan mencegah penularannya tidak diambil.

Pada awal latihan, peserta diperkenalkan dengan latihan melalui beberapa ceramah daripada pakar seperti Dr. Chris Whittier dan Prof. Dr. Stanley Gordon Fenwick dari Tufts University, Amerika Syarikat.

 

Peserta kemudian diperkenalkan kepada modul kes orangutan menggunakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Masalah dalam kes Orangutan melalui beberapa situasi yang diberikan. Peserta diminta mengisi jadual FILA (Fakta, Idea, Masalah, Tindakan) untuk menyiasat kes menggunakan fakta yang diberikan dalam situasi.

Mereka juga mengadakan lawatan lapangan ke Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok untuk melihat dengan lebih dekat situasi dan dapat membayangkan apa yang mereka pelajari melalui situasi tersebut megenai tingkah laku, habitat dan juga pengambilan makanan haiwan yang disiasat.

Perjalanan ke Gua Gomantong dan Sungai Kinabatangan pula memberi peserta lebih banyak pendedahan mengenai kehidupan haiwan liar hidup dan kelakuan mereka dalam habitat semulajadi.

Pada hari terakhir latihan, setiap kumpulan membentangkan hasil perbincangan untuk setiap situasi yang diberikan, dan berkongsi pengalaman mereka semasa latihan.  - UPM

 

 

SXDdXAe~