| Universiti Putra Malaysia

383 pelajar luar negara jaya ikuti program International Mobility Students UPM

Oleh: Khoirun Nisa Ahmad

SERDANG, 18 Dis – Seramai 383 pelajar dari 16 negara menamatkan program  ‘International Mobility Students Universiti Putra Malaysia (UPM)’ dengan jayanya, yang bertujuan mendedahkan mereka kepada kepelbagaian budaya, cara hidup dan adat resam di negara ini.

Pelajar-pelajar itu adalah dari Australia, Austria, Belgium, Brunei, China, Finland, Perancis, Jerman, Indonesia, Jepun, Kazakhtan, Korea, Morocco, Thailand, Turki dan Amerika Syarikat.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. M. Iqbal Saripan berkata, beliau percaya melalui program itu pelajar terbabit memperoleh pengalaman baharu di negara ini serta mempelajari perkara baharu termasuk daripada segi bahasa, budaya serta mendapat rakan baharu.

“Saya yakin program ini dapat menarik perhatian negara luar untuk mempunyai hubungan antarabangsa dengan UPM,” katanya pada majlis meraikan pelajar itu serta menyampaikan sijil kepada mereka, di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengarah Pusat Antarabangsa Putra (i-PUTRA) UPM, Prof. Madya Dr. Noritah Omar.

Seorang peserta program, Chen Zixuan dari Cangzhou Normal Universiti, China, berkata beliau hanya mengambil masa beberapa hari sahaja untuk menyesuaikan diri di Malaysia.

 “Pada mulanya agak sukar kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, tetapi sikap peramah pelajar di sini membuatkan saya berasa gembira dan senang sepanjang tempoh saya berada di sini,” kata pelajar jurusan Komunikasi dan Bahasa Moden itu.

Sophia Douhal, pelajar dari Morocco yang mengambil jurusan Pengurusan dan Ekonomi pula berkata beliau belajar banyak perkara mengenai budaya tempatan serta tertarik dengan semangat kerjasama dan toleransi kuat yang ditunjukkan rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.

“Rakyat Malaysia sangat peramah dan budaya yang pelbagai membuatkan saya tertarik untuk menerokai lebih mendalam mengenai budaya negara ini,” katanya.

Naufal Al Furqon dari Universiti Sriwijaya Palembang, Indonesia pula berkata beliau dapat mengenali lebih dekat budaya sesebuah negara melalui hubungan yang dijalin dengan rakan-rakan dari pelbagai negara. - UPM

WXDdGAZ~