SISTEM MAKLUMAT GEOGRAFI MAMPU PANTAU JENAYAH PENCEMARAN AIR MENTAH | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » SISTEM MAKLUMAT GEOGRAFI MAMPU PANTAU JENAYAH PENCEMARAN AIR MENTAH

SISTEM MAKLUMAT GEOGRAFI MAMPU PANTAU JENAYAH PENCEMARAN AIR MENTAH

Article Summary
Gangguan bekalan air terawat tidak berjadual sering kali membelenggu rakyat di Malaysia yang kadang kala melibatkan beratus-ratus kawasan terjejas dan pada masa yang sama membabitkan beratus ribu akaun pengguna. Bekalan air terawat yang merupakan sumber asas keperluan rakyat seringkali terputus akibat pencemaran air mentah di lingkaran sungai utama.


**This article was published in Bahasa Melayu and has no translation in English

By Prof. Madya Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof

 

Gangguan bekalan air terawat tidak berjadual sering kali membelenggu rakyat di Malaysia yang kadang kala melibatkan beratus-ratus kawasan terjejas dan pada masa yang sama membabitkan beratus ribu akaun pengguna. Bekalan air terawat yang merupakan sumber asas keperluan rakyat seringkali terputus akibat pencemaran air mentah di lingkaran sungai utama.

Kejadian pencemaran air mentah seringkali berulang umpama tiada mekanisma untuk memantau dan mencegah masalah ini daripada berlaku. Pada 1hb Oktober 2020, Kementerian Alam Sekitar dan Air telah menubuhkan satu unit yang diberi nama Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS). Penubuhan unit ini dilihat sebagai salah satu usaha yang tepat dalam mencegah jenayah alam sekitar seperti pencemaran air mentah.

Persoalannya mekanisma dan kaedah apa yang sesuai digunapakai oleh unit ini dalam memantau dan mencegah jenayah alam sekitar agar jenayah mencemarkan air mentah yang kebiasaannya dilakukan secara sengaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dapat dielakkan?

Salah satu kaedahnya adalah dengan menggunapakai sistem teknologi seperti penggunaan Sistem Maklumat Geografi (Geographical Information System - GIS). Penggunaan sistem teknologi ini mampu untuk memantau dan mencegah jenayah pencemaran air mentah agar isu yang sama tidak berlaku berulang-ulang kali. Namun, bagaimana teknologi ini boleh digunakan dalam memantau dan mencegah jenayah pencemaran air mentah di negara ini?

Pemetaan dan analisa penampan (buffer analysis) Sistem Maklumat Geografi (GIS) ini boleh digunapakai bagi memeta pembangunan di sepanjang sungai yang mana berkemungkinan menyalurkan sisa buangan mereka ke dalam sungai sekaligus mencemarkan air sungai berkenaan. Melalui pemetaan dan analisa GIS ini juga pembangunan terlarang (illegal development) dapat dikenalpasti dan dipetakan. Disamping itu, dengan menggunakan kaedah ini, mana-mana pembangunan yang dibangunkan di dalam rizab sungai boleh dikenalpasti.

Kaedah analisa penampan (buffer analysis) ini juga boleh memetakan pembangunan sekitar mengikut jarak tertentu (sebagai contoh jarak radius 5km, 10km, 15km atau lebih daripada radius 15km). Pemetaan hasil analisa ini mampu mengenal pasti pembangunan atau jenis guna tanah sekitar sungai yang berpontensi memberi ancaman dan mencemarkan air sungai berkenaan.

Ancaman ini boleh diintepretasikan sebagai lokasi titik panas (hotspot) pembangunan atau guna tanah yang memberi ancaman kepada pencemaran air mentah berkenaan. Jesteru, hasil pemetaan lokasi titik panas ini, rondaan secara berkala boleh dilaksanakan oleh UCJAS yang secara tidak langsung mampu menangani jenayah alam sekitar di sepanjang sungai utama yang membekalkan bekalan air terawat kepada rakyat.

Kaedah dan teknologi GIS seumpama ini perlulah dimanfaatkan kerana ianya mampu menangani isu bekalan air terputus yang kerapkali membelenggu rakyat. Saban kali rakyat dibelenggu dengan isu bekalan air terputus yang umpama menjadi “aktiviti atau acara bulanan” mereka. 

Sudah sewajarnya aktiviti atau acara bulanan bekalan air terputus ini ditangani dengan lebih bijak dan menggunapakai teknologi seperti GIS ini. Biarlah isu ini ditangani dengan kaedah mencegah dan bukan merawat (prevention is better than cure). Pencegahan jenayah alam sekitar seperti pencemaran air mentah perlu ditangani secara menyeluruh dan bukan sekadar menyelesaikannya mengikut kes-kes tertentu sahaja (case by case).

 

 

Prof. Madya Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof
Timbalan Dekan Akademik
Fakulti Rekabentuk dan Senibina
Universiti Putra Malaysia

Bidang Kepakaran: Sistem Maklumat Geografi, Perancangan Landskap Mampan, Perancangan Kawasan Hijau

No Telefon: 016 714 5904
Email: m_johari@upm.edu.my

Date of Input: 20/12/2020 | Updated: 20/12/2020 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKWJA:09:29