| Universiti Putra Malaysia

Biorefineri bantu kelestarian alam sekitar negara

Ringkasan Artikel

Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) pada September 2022 beraspirasikan ke arah mewujudkan masyarakat bio-inovasi menjelang tahun 2030 bagi menjana kekayaan, kesejahteraan sosial dan pembangunan mampan.

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari


SERDANG - Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) pada September 2022 beraspirasikan ke arah mewujudkan masyarakat bio-inovasi menjelang tahun 2030 bagi menjana kekayaan, kesejahteraan sosial dan pembangunan mampan.

DBN 2.0 menunjukkan hala tuju negara yang menjadikan industri bioteknologi sebagai salah satu daripada pemacu ekonomi negara.

Menerusi DBN 2.0, terdapat tiga teras utama yang diberi penekanan iaitu Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan, Bioteknologi Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan serta Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran.

Dalam kepesatan membangunkan ekonomi negara, pengekalan kelestarian alam sekitar adalah amat penting.

Hal ini dapat dicapai menerusi inisiatif yang berkonsepkan ekonomi kitaran dimana bidang bioteknologi dilihat akan memainkan peranan utama dalam mencipta nilai tambah kepada produk sampingan (by-product) atau biomas dari sektor pertanian, perindustrian dan sisa perbandaran menerusi biopemprosesan dan biopembuatan.

Secara ringkas, ekonomi kitaran boleh dicapai menerusi konsep biorefinari.

Biorefinari merupakan sebuah fasiliti biopemprosesan yang mengintegrasikan beberapa operasi unit pemprosesan biomas, bertujuan bagi penghasilan tenaga boleh diperbaharui dan produk berasaskan bahan bio.

Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai Institusi Pengajian Tempatan (IPT) pertama yang menawarkan program Bioteknologi di Malaysia dilihat mempunyai kekuatan dari segi pengalaman, kepakaran dan fasiliti dalam menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan DBN 2.0.

Perkara ini dibuktikan menerusi penubuhan Kompleks Biorefinari di bawah Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB) pada 2008 memperlihatkan UPM sebagai satu-satunya universiti yang memiliki fasiliti biorefinari di dalam kampus yang menjadikannya sebagai fasiliti biorefinari perintis dalam memberi pendidikan dan kesedaran kepentingan ekonomi kitaran kepada warga kampus khususnya, serta masyarakat amnya.

Menurut ketua Kompleks Biorefinari yang juga Ketua Kumpulan Penyelidikan Bioteknologi Alam Sekitar UPM iaitu Profesor Ts. Dr. Hidayah Ariffin, terdapat lima fokus utama penyelidikan yang terlibat di kompleks berkenaan yang diterajui oleh tujuh penyelidik utama.

Lima fokus penyelidikan tersebut adalah biokompos dan biobaja, biopolimer dan biobahan, bio-arang, bahan bakar bio (biofuel) dan mikrobiom alam sekitar.

Menurut beliau juga, Kompleks Biorefinari mempunyai fasiliti pada skala pandu bagi penghasilan biokompos, bio-arang, biodiesel, biogas, nanoselulosa dan bionanokomposit.

“Dengan adanya fasiliti berskala pandu ini, Kompleks Biorefinari bukan sahaja menjadi tempat bagi pelaksanaan penyelidikan, malahan ia menjadi sebagai hab dan pusat rujukan dalam bidang teknologi biomas.

"Ini terbukti daripada jumlah konsultasi, kerjasama penyelidikan dan khidmat nasihat bersama agensi kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan, sekolah serta komuniti awam, dalam dan luar negara” katanya.

Penyelidik Kompleks Biorefinari dilihat mempunyai aspirasi yang sangat jelas dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui teknologi hijau dengan penghasilan pelbagai jenis produk daripada biomas yang mana sebahagiannya telah dikomersialkan menerusi syarikat pemula (start-up) di bawah program Innohub UPM, contohnya baja organik dan nanoselulosa.

Selain itu, biodiesel yang dihasilkan di Kompleks Biorefinari juga telah digunakan bagi kegunaan jentera di kawasan kompleks berkenaan.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa sisa pertanian seperti biomas sawit atau sekam padi boleh dijadikan bio-arang yang digunakan sebagai bahan penjerap untuk rawatan air sisa di samping menjadi penjerap bagi penyingkiran logam berat di dalam air, serta berupaya menyumbang kepada kesuburan tanah.

Salah seorang penyelidik dari Kompleks Biorefinari yang juga merupakan pensyarah Jabatan Teknologi Bioproses FBSB UPM iaitu Dr. Ahmad Muhaimin Roslan melihat kepentingan konsep biorefinari yang dapat manyumbang kepada kekayaan negara khususnya menerusi bidang pertanian.

“Konsep biorefinari wajar diperluaskan lagi dalam industri biopemprosesan dan pertanian di Malaysia dalam memastikan keberhasilan konsep ekonomi kitaran dan kelestarian alam," jelasnya.

Malaysia mempunyai banyak sumber bio dan sisa dari sektor pertanian yang dapat ditukar menjadi tenaga boleh diperbaharui dan baja organik.

Contoh mudah, kita ada padi, sawit, tebu, ternakan ayam, lembu, kambing dan sebagainya yang mana sisa dari aktiviti ini boleh diproses menjadi baja organik yang akan digunakan semula pada tanaman.

Secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan import baja daripada luar dan mengurangkan kos import kepada negara.

Dalam pada itu, melalui konsep biorefinari banyak tumpuan serta produk baharu yang dapat dihasilkan mengikut keperluan masing-masing sekali gus merancakkan kitaran ekonomi dalaman Malaysia dan membuka penerokaan bidang baharu.-UPM

SXDdJA7~